Penyiasat sahkan dokumen dirampas ada kaitan dengan Najib


Bede Hong

Daripada lapan fail itu, empat berkaitan dengan akaun yang dibuka oleh Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 April, 2019.

SEORANG penyiasat Bank Negara hari ini memberitahu mahkamah bahawa bank pusat itu memperoleh lapan fail dokumen semasa serbuan ke atas sebuah cawangan Ambank di Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

Azizul Adzani Abdul Ghafar berkata serbuan dijalankan di cawangan Ambank di Jalan Raja Chulan pada 6 Julai, 2015 dan pengurus cawangan itu, R. Uma Devi menyerahkan dokumen-dokumen yang memperincikan pembukaan akaun-akaun berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Daripada lapan fail dokumen itu, empat berkaitan akaun yang dibuka oleh Najib Razak, tiga dibuka oleh SRC International dan satu oleh anak syarikat SRC, Gadingan Mentari Sdn Bhd. Akaun-akaun berkenaan dibuka antara 2011 dan 2015.

Terdahulu, peguam bela Najib, Harvinderjit Singh menyoal balas saksi pertama, penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaluddin Abdullah.

Harvinderjit meminta Akmaluddin mengesahkan bahawa pegawai khas Najib bagi hal ehwal ekonomi, Azlin Alias, adalah pengarah SRC International sehinggalah Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 4 April, 2015.

Azlin meninggal dunia tiga bulan sebelum polis menyerbu pejabat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berhubung dakwaan berjuta wang dana itu dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Harvinderjit menyoal Akmaluddin mengenai 999,998 saham SRC International yang dipindahkan ke 1MDB Energy beberapa bulan sebelum SSM menerima dokumen pada Ogos 2011.

Akmaluddin juga mengesahkan bekas pengarah SRC International dan Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas ketua pegawai pelaburan Vincent Koh Beng Huat mempunyai saham dalam syarikat itu setakat pada 4 Januari, 2011. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen