Minyak sawit sebahagian rundingan ECRL, bukan Jho Low, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan media pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 April, 2019.

KEJAYAAN rundingan Putrajaya dengan China berhubung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak termasuk tentang ahli perniagaan dikehendaki dalam buruan Low Taek Jho yang disyaki berada di negara itu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata Malaysia membangkitkan isu China mendapatkan lebih banyak minyak kelapa sawit dari Malaysia sebagai sebahagian daripada rundingan itu.

“Kami mengambil kesempatan daripada perjanjian itu untuk pembelian minyak sawit dari China.

“Ia tidak ada kena mengena dengan Jho Low, tetapi sudah tentu kita akan meminta bantuan kerajaan China jika dia ada di China,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya adakah kerajaan terdahulu sengaja menaikkan kos ECRL untuk menyelesaikan hutang ditanggung 1Malaysia Development Bhd, Dr Mahathir berkata kemungkinan itu ada.

Beliau berkata ini kerana projek yang dirundingkan oleh pentadbiran terdahulu terlalu mahal dan kerajaan semasa berjaya mengurangkan kos RM22 bilion.

“Jika projek itu dilaksanakan secara biasa, kita boleh dapat harga lebih baik tetapi ini sejumlah besar yang diberikan kepada sebuah syarikat dari China secara rundingan langsung.”

Di bawah rundingan baharu oleh duta khas Putrajaya Daim Zainuddin, kos projek itu dikurangkan kepada RM44 bilion daripada harga asal RM65.5 bilion.

Beliau berkata kerajaan China dan Malaysia bekerjasama dengan baik dan kedua-duanya dapat mewujudkan perjanjian saling menguntungkan daripada projek itu.

Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan China kerana mengambil kira kedudukan kewangan Malaysia dan menurunkan kos projek itu. – 15 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen