SUASANA suram menyelubungi bilik mayat Hospital Kuala Lumpur walaupun terdapat lebih 200 orang di situ yang menyaksikan 23 mayat mangsa kebakaran sekolah tahfiz dimasukkan ke kereta jenazah, satu persatu.
Mayat pertama diserahkan kepada ahli keluarga pada jam 4 petang di tengah-tengah kehadiran anggota polis yang ramai.
23 kereta jenazah, setiap satunya untuk 21 pelajar dan dua warden yang meninggal dunia dalam tragedi yang berlaku pada waktu subuh di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqyah di Kampung Datuk Keramat, menunggu untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan di beberapa lokasi berbeza di seluruh negara.
Mayat terbabit dibawa ke surau hospital untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Pemandu kereta jenazah Mohamad Rizuan Abu Bakar berkata, dia masih gementar walaupun berpengalaman membawa mayat.
“Saya sudah biasa bawa kereta jenazah, tetapi kali ini saya agak gementar kerana saya mengenali salah seorang mangsa dan bapanya. Mereka adalah dari Masjid Abu Ubaidah di Taman Sri Rampai.
“Saya sangat sedih perkara ini berlaku kepada rakan saya,” katanya yang berusia 38 tahun.
Rakannnya ialah Nasrun Mat Yusof yang kehilangan anak bongsunya Muhammad Nizammudin Nasrun, 13.
Sementara itu seorang lagi anaknya Zunnur Misrin, 15 dilaporkan masih kritikal dan kini sedang dirawat di HKL kerana melecur teruk di bahagian belakang badan.
Orang ramai di hospital berkenaan, termasuk ahli keluarga mangsa menunggu di bilik mayat sejak pagi tadi.
Semalam, waris mangsa menyerahkan sampe DNA mereka untuk proses mengenal pasti mayat mangsa yang rentung.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 23 mangsa sudah dikenal pasti identitinya melalui ujian DNA.
11 mayat mangsa dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Salimah, Gombak hari ini manakala yang lain akan dikebumikan di Kedah, Kelantan dan Perak. – 15 September, 2017.
Komen