White House nafi Trump cetus keganasan terhadap wakil rakyat Muslim


Polis diarah melakukan taksiran keselamatan terhadap Ilhan Omar susulan Twitter Presiden Donald Trump yang dikatakan mencetuskan keganasan terhadap wakil rakyat Muslim itu. – Gambar AFP, 15 April, 2019.

DEMOKRAT kanan dalam Kongres Amerika Syarikat (AS) mengarahkan semakan semula keselamatan untuk seorang anggota kongres wanita beragama Islam dan keluarganya, selepas menuduh Presiden Donald Trump meletakkannya dalam bahaya dengan memuat naik satu video mengaitkannya dengan serangan 9/11.

Speaker Dewan Nancy Pelosi mengeluarkan satu kenyataan keras menggesa Trump menurunkan klip video menampilkan anggota kongres Minnesota, Ilhan Omar.

“Susulan tweet presiden itu, saya bercakap dengan pegawai untuk memastikan polis melakukan taksiran keselamatan untuk melindungi Ilhan, keluarganya dan kakitangannya.

“Kata-kata presiden membawa satu kesan besar, retorik kebencian dan mengapi-apikan itu mencetuskan bahaya. Presiden perlu menurunkan video yang tidak reti hormat dan bahaya.”

Jurucakap Trump, Sarah Sanders sementara itu mempertahankan presiden daripada tuduhan yang beliau mencetuskan keganasan terhadap Ilhan.

Ilhan menjadi perhatian selepas klip video menunjukkan beliau mencirikan serangan terburuk di AS itu sebagai “ada yang melakukan sesuatu”.

Pada Jumaat, Trump menerusi Twitter memuat naik satu sedutan rakaman video di mana kenyataan Ilhan yang juga ahli Demokrat diambil luar daripada konteks sebenar. Dalam video itu, imej pesawat yang digunakan dalam serangan terhadap menara berkembar. Muzik mengerikan mengiringi kata-kata Ilhan.

Klip video itu yang ditonton lebih 9.4 juta kali setakat petang Ahad, berakhir dengan kata-kata: “kami ingat 11 September 2011”. – AFP, 15 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen