AMERICAN Airlines dalam satu pengumuman semalam berkata ia menghentikan 115 penerbangan sehari dalam tempoh beberapa bulan akan datang susulan pesawatnya Boeing 737 MAX digantung sehingga 19 Ogos.
Syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat (AS) itu sebelum ini hanya merancang untuk menghentikan penggunakan pesawat itu hingga 5 Jun, apabila Boeing berdepan kritikan selepas 157 orang maut dalam pesawat 737 MAX milik Ethiopian Airlines pada 10 Mac – insiden kedua pesawat terhempas dalam tempoh lima bulan.
Pesawat 737 MAX tidak dibenarkan melakukan penerbangan sejak pertengahan Mac.
“Semua 115 penerbangan ini mewakili kira-kira 1.5% daripada rakyat AS yang menggunakan khidmat penerbangan setiap hari pada musim panas ini,” kata Pengerusi dan CEO American Airlines Doug Parker, dalam satu kenyataan.
Tetapi beliau menekankan keyakinannya terhadap pesawat itu secara keseluruhan.
“Berdasarkan kepada kerja yang masih berterusan dengan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Boeing, kami yakin MAX akan dibenarkan terbang pada tarikh itu (19 Ogos).
“Dengan melanjutkan pembatalan kami sepanjang musim panas, kami dapat merancang dengan lebih baik untuk musim perjalanan waktu puncak dan memberikan keyakinan kepada pelanggan dan anak kapal.
“Sebaik saja MAX dapat sijilnya semula, kami menjangka untuk mengembalikan pesawat MAX sebagai tambahan kepada operasi yang diperlukan pada musim panas.” – AFP, 15 APRIL, 2019.
Komen