Amerika ucap tahniah kerajaan baharu Palestin


Presiden Palestin Mahmud Abbas (tengah) bermesyuarat dengan anggota Kabinet yang baru diumumkan. – Gambar AFP, 15 April, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) mengucapkan tahniah kepada kerajaan baharu Palestin semalam, sehari selepas Perdana Menteri Mohammad Shtayyeh mengumumkan barisan Kabinetnya bersama Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA) Mahmoud Abbas, tetapi mengecualikan pergerakan Islam Hamas.

“Tahniah kepada barisan baharu Kabinet Pihak Berkuasa Palestin. Dengan pengalaman mereka yang ada dalam senarai itu, kami berharap mereka mampu bekerja bersama ke arah perdamaian dan memperbaiki kehidupan penduduk Palestin. Ia permulaan baharu,” kata Jason Greenblatt, penasihat Presiden AS Donald Trump dan wakil khas untuk rundingan antarabangsa, di Twitter.

Beberapa jawatan utama tidak berubah daripada pentadbiran terdahulu pimpinan Rami Hamdallah.

Penganalisis berkata perubahan kerajaan dibuat untuk memencilkan lagi Hamas, yang tidak sehaluan dengan parti Fatah pimpinan Abbas serta Shtayyeh selama lebih sedekad.

Mereka berkata Abbas, 84, berkuasa sejak 2005 mengekalkan kuasa pembuat dasar.

Dalam satu kenyataan lewat kelmarin, Abbas mengesahkan kerajaan baharu dibentuk dan mengalu-alukan anggota Kabinetnya.

Ia memasukkan ramai sekutu rapat sekian lama dan anggota Fatah, walaupun beberapa puak kecil turut diwakili. – AFP, 15 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen