PERBICARAAN kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak masuk hari kedua hari ini, dengan pembantu pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia Muhamad Akmaluddin Abdullah menyambung keterangannya.
Akmaluddin, saksi pertama perbicaraan itu memberi keterangan pada 13 April, memperincikan penubuhan SRC International pada 2011 dengan modal berbayar RM100 juta.
Beliau mengenal pasti Suboh Md Yassin sebagai bekas pengarah SRC International dan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai bekas ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan.
Suboh, yang diletakkan dalam program perlindungan saksi, dijangka memberi keterangan tidak lama lagi sementara Nik Faisal masih hilang, mungkin berada di Indonesia, kata laporan.
Akmaluddin yang bekerja di suruhanjaya itu sejak 2007, turut memperincikan penubuhan anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.
lhsan Perdana dikenal pasti oleh Peguam Negara Tommy Thomas pada 3 April sebagai rakan tanggungjawab sosial dan korporat SRC International.
Akmaluddin dijangka disoal balas oleh peguam bela, diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Pihak pendakwa mahu membuktikan bahawa Najib mencadangkan penubuhan SRC International, dan permintaan unit itu untuk pinjaman kerajaan RM3.95 bilion, selain perkara yang membawa pada kelulusan Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion.
Najib juga menteri kewangan ketika memegang jawatan perdana menteri.
Pendakwa dijangka memanggil lebih 50 saksi dan menunjukkan dokumen membuktikan bahawa RM42 juta daripada SRC International diluluskan menerusi akaun syarikat Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana sebelum didakwa dimasukkan ke dua akaun AmPrivate Banking milik Najib.
Najib berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa; tiga pertuduhan bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah; dan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kerana pengubahan wang haram.
Beliau berdepan hukuman 20 tahun penjara dan denda jika disabitkan bersalah.
Perbicaraan kes SRC itu pada awalnya dijadualkan berlangsung dari 12 Februari hingga 29 Mac tetapi ditangguhkan dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac membenarkan penangguhan prosiding hingga rayuan berkaitan selesai.
Tiga permohonan Najib berkenaan perkara interlokutori berkaitan perbicaraan SRC International – termasuk permohonan perintah gag order terhadap media – ditolak oleh Mahkamah Persekutuan minggu lalu.
Pada masa ini terdapat dua lagi perkara interlokutori berkaitan perbicaraan itu – notis usul untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadap Najib sebagai cacat dan permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menarik balik perintah pada 21 Mac oleh Mahkamah Rayuan.
Tarikh perbicaraan untuk usul itu dijangka ditetapkan minggu depan sementara status permohonan semakan semula masih belum pasti kerana rayuan Najib dilupuskan. – 15 April, 2019.
The Malaysian Insight membawakan perbicaraan ini secara langsung:
4.15pm: Mahkamah bersambung.
Sithambaram: Berikutan permohonan oleh pihak pembelaan untuk menyusun semua dengan teratur, kami mula membuat salinan dan perlu melampirkan semuanya bersama tetapi ia akan mengambil masa. Saya cadangkan kita tangguhkan hingga esok. Kami akan pastikan perkara ini tidak akan berulang.
Hakim Mohd Nazlan: Sila pastikan urutan yang betul untuk mengelakkan masalah yang sama sekali lagi. Prosiding ditangguhkan sehingga 9 pagi esok.
3.05pm: Mahkamah tangguh sementara untuk pemeriksaan fail dan dokumen.
Najib kembali membaca bukunya.
2.59pm: Azizul membacakan surat pelantikannya yang memberiknya kuasa menyiasat perkara berkaitan AMLA, Akta Perkhidmatan Kewangan, BAFIA dan lain-lain serta kad kuasanya kepada peguam bela. Azizul kemudian mengenal pasti pengurus Ambank, Uma Devi.
2.47pm: Harvinderjit meminta pendakwaan meletak nombor dokumen di sebelah atas untuk mudak dirujuk oleh peguam bela.
Pendakwa Raya Suhaimi berkata nombor yang digunakan dalam lapan fail bukti yang dikemukakan adalah berkaitan siasatan Bank Negara ke atas SRC International.
2.41pm: Perbicaraan bersambung dengan pendakwaan memanggil saksi, Azizul dari Bank Negara.
12.56pm: Selepas mengesahkan dokumen yang diserahkan sebagai bukti oleh Azizul dari BNM, mahkamah berhenti rehat dan bersambung semula pada pukul 2.30 petang.
12.33pm: Pendakwa Suhaimi Ibrahim memanggil saksi pendakwaan kedua, pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar.
Azizul: Saya menyertai BNM pada 2008 sebagai penyiasat bagi kes berkaitan Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001). Saya dipanggil untuk membantu siasatan pada 2015 di Ambank di bawah Amla berhubung “kewajipan untuk melaporkan”.
Kami bertemu pengurus, Uma Devi dan kami berikan kepada beliau senarai akaun yan kami mahu semak. Beliau kembali dengan 17 dokumen.
Kami rekodkan dokumen yang perlu dibawa balik ke BNM.
Suhaimi: Adakah ini dokumen itu? (menunjukkan penyata akaun dan surat kuasa milik Najib Razak).
Azizul: Ya.
12.30pm: “Saya dah selesai,” kata peguam pembelaan Harvinderjit, selepas dua jam setengah menyoal saksi Akmaludin dan mengesahkan dokumen yang diberikan.
Giliran pihak pendakwa Suhaimi Ibrahim untuk memanggil saksinya.
11.05am: Selepas lebih sejam peguam pembelaan Harvinderjit masih mengesahkan dokumen yang diserahkan oleh saksi Akmaludin. Beliau memeriksa tarikh borang permohonan yang dihantar untuk SRC dan Yayasan Rakyat 1Malaysia.
10am: Saksi Akmaludin mengesahkan penyataan peguam pembelaan Harvinderjit bahawa pemegang saham SRC asal atau awal adalah Nik Faisal Ariff Kamil dan Vincent Beng Huat Koh.
Harvinderjit bertanya sama ada SRC dimiliki oleh 1MDB pada masa ia diperbadankan.
9.42am: Perbicaraan diteruskan. Harvinderjit menyambung untuk menyoal PW1 Mohamad Akmaludin Abdullah dari SSM. Beliau mengesahkan dokumen dengan PW1.
9.26am: Najib kini duduk di galeri awam, mengambil buku sekali lagi. Beliau memeriksa telefon bimbitnya. Buku yang beliau baca adalah Dunia Tanpa Tembok oleh Ayman Rashdan Wong.
Sithambaran: Saksi pendakwaan No. 1 (PW1) Mohamad Akmaludin Abdullah diminta memberi dokumen tambahan oleh pihak pembelaan pada Hari 1. Terpulang kepada mahkamah untuk tentukan sama ada dokumen ini perlu. Mahkamah perlu pertimbangkan sama ada ia perlu dimasukkan. Mohon mahkamah untuk arahkan.
Harvinderjit: Mohon PW1 untuk keluarkan 3 dokumen – dokumen permohonan bagi SRC International, Yayasan Rakyat dan pengarah Yayasan Rakyat. Dokumen itu perlu dikeluarkan sebelum kita bercakap mengenai sama ada ia boleh diterima. Bawa dokumen itu dan kita akan lihat.
Sithambaran: Sekiranya pembelaan berhujah bahawa dkumen ini boleh didedahkan secara umum, jadi mereka boleh dapatkannya. Seperti Yayasan 1Malaysia dokumen ini dalam tangan pembelaan. Dokumen ini sudah ada dengan mereka tetapi mereka memilih untuk meminta PW1 keluarkannya sekali lagi.
Mahkamah berhenti seketika untuk hakim pertimbangkan hujah itu.
9.05am: Hakim Mohd Nazlan masuk dan perbicaraan dimulakan.
9am: Najib duduk di kandang tertuduh. Membaca buku sementara peguamnya Shafee dan Harvinderjit Singh menunggu kedatangan hakim.
Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas serta V Sithambaram sudah berada dalam mahkamah.
8.50 am: Peguam Muhammad Shafee Abdullah tiba di mahkamah, diikuti Najib tidak lama kemudian.

Komen