PAS yakin dapat tarik semula sokongan bukan Melayu


Lee Chi Leong Diyana Ibrahim

AJK Pusat PAS Nik Abduh Nik Aziz berkata parti Islam itu yakin dapat menarik semula sokongan bukan Melayu melalui kerjasama parti itu dengan BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 April, 2019.

PAS yakin akan dapat menarik semula sokongan bukan Melayu melalui kerjasama parti itu dengan Barisan Nasional (BN), kata ahli jawatankuasa pusat Nik Abduh Nik Aziz.

Beliau mengakui PAS kehilangan banyak undi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila parti itu berundur dari Pakatan Rakyat namun yakin ia akan ditebus semula dalam PRU15.

Sewaktu masih dalam Pakatan Rakyat, PAS menikmati sokongan bukan Melayu melalui penyokong PKR dan DAP.

Kini, PAS berkata sokongan itu dilihat melalui kerjasama erat yang kini terbentuk dengan parti bukan Melayu dalam BN seperti MIC.

Beliau berkata walaupun MIC dan MCA tidak mempunyai ramai wakil di Parlimen dan DUN, parti itu masih mempunyai jumlah pengundi yang besar dan menguntungkan PAS.

“Kita bukan cakap mengenai kerusi, kita cakap mengenai pengundi. Memang betul sokongan kaum India kepada PH tapi sekarang sokongan berubah.

“Dan kaum Cina mula lihat balik. Walaupun saya tak kata kaum Cina dan India dah lari daripada PH, tapi mereka berfikir balik, rakyat boleh menilai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, penyokong kaum India yang banyak menyokong PH hanyalah golongan di bandar dan PAS akan berpeluang meraih sokongan pengundi di luar bandar.

Pada masa sama, PAS juga sudah menebus kehilangan undi bukan Melayu dengan meraih lebih banyak sokongan pengundi Melayu yang kuat menolak kepimpinan BN dalam PRU14, katanya.

Hinggakan, PAS dapat mengekalkan Kelantan dengan merebut 37 daripada 45 kerusi dan merampas semula negeri Terengganu dengan meraih 22 daripada kesemua 32 kerusi.

Di Kedah pula, ia memenangi 15 daripada 36 kerusi DUN.

Setelah PAS memutuskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat, kumpulan pemimpin progresif parti itu membentuk Amanah.

Amanah menyertai gabungan baharu Pakatan Harapan dengan PKR, DAP dan Bersatu yang membentuk kerajaan selepas menang PRU14.

PAS pula membentuk gabungan Gagasan Sejahtera Rakyat dan memenangi 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri di seluruh negara. – 15 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen