Delegasi Israel batal pembentangan di persidangan Bahrain


Israel berdepan kerumitan dalam usahanya meningkatkan hubungan dengan negara-negara Arab yang menjadi jirannya. – Gambar AFP, 14 April, 2019.

PEMBENTANG Israel yang dijadual muncul di persidangan perniagaan di Bahrain minggu depan membatalkan pembentangan mereka disebabkan “bimbang mengenai keselamatan” mereka, kata penganjur pada hari Ahad.

Sekurang-kurangnya tiga penceramah Israel, termasuk Timbalan Ketua Lembaga Inovasi Israel, Anya Eldan, dijadualkan membentang kertas kerja di Kongres Keusahawanan Global di Manama.

Kehadiran mereka pada acara empat hari yang bermula pada hari Isnin depan mendapat kutukan anggota parlimen di Bahrain, yang tidak mengiktiraf negara Yahudi itu.

“Semasa kami beritahu delegasi Israel kedatangan mereka akan dialu-alukan, mereka memutuskan pagi ini tidak akan datang kerana bimbang berhubung keselamatan mereka dan tidak mahu menyebabkan gangguan kepada 180 negara yang turut serta,” kata Jonathan Ortmans, pengasas dan presiden Rangkaian Keusahawanan Global .

Israel mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan hanya dua negara Arab, Mesir dan Jordan.

Usaha Israel untuk meningkatkan hubungan dengan negara-negara Arab lain berdepan kerumitan ekoran pendudukan haram pada tahun 50-an di beberapa wilayah Arab.

Walau bagaimanapun, ia baru-baru ini dilihat cuba meningkatkan kerjasama  dengan beberapa negara Teluk, terutamanya dalam menangani Iran yang menjadi musuh mereka bersama.

Pada 2018, Bahrain menganjurkan satu persidangan UNESCO yang turut dihadiri delegasi Israel. – AFP, 14 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen