Disney bakal lancar khidmat strim baharu saingi Netflix


Penikmat filem akan mempunyai peluang menikmati siri Star Wars melalui televisyen mereka kelak dengan lebih mudah. – Gambar EPA, 14 April, 2019.

SAINGAN bermula. Walt Disney bakal mengeluarkan senjata terbesarnya dalam perkhidmatan strim baharu yang akan dilancarkan November depan, lapor AFP.

Khidmat strim yang bakal menyaingi khidmat strim televisyen Netflix itu dikatakan akan memuatkan siri box office “Star Wars” dan siri adiwira Marvel.

Pengumuman itu bakal menyaingi Netflix dan yang kini mendominasi khidmat strim televisyen.

Langganan perkhidmatan tersebut dilaporkan lebih murah dengan harga AS$6.99 sebulan, berbanding harga pelan asas langganan Netflix sebanyak AS$8.99.

Disney turut mengumumkan saluran khidmat strim yang dilancarkan nanti akan memuatkan rancangan-rancangan dan filem dari studio animasi Pixar, francais Marvel superhero seperti “Spider Man” dan “Captain America,” di samping dokumentari National Geographic.

Walt Disney dalam laporan AFP dipetik berkata pihaknya turut memasukkan seluruh 30 musim animasi “The Simpsons,” siri “Malcolm in The Middle” dan “The Mandalorian.”

Alan Wolk, pengasas bersama firma perunding TVREV berkata, “Kejutan terbesar adalah harga AS$ 6.99 sebulan, yang jauh lebih rendah dari yang dijangka ramai orang. 

“Ia juga bebas iklan, berbanding model Hulu (yang mempunyai kepentingan Disney sebanyak 60%), dan mempunyai pilihan iklan dan bebas iklan.”

Wolk berkata strategi itu sesuai dengan apa dijangka daripada Disney yang rata-rata mempunyai audiens daripada kalangan keluarga dengan kanak-kanak. – 14 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen