Mohamad perlu terus pimpin parti, kata pemimpin Umno


SM Amin

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan meraikan kemenangan pada PRK Rantau semalam bersama penyokong BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 April, 2019.

KALANGAN pemimpin Umno berpendapat Mohamad Hasan perlu memimpin parti untuk membolehkan parti itu terus mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Sentimen itu berdasarkan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sejak Mohamad menjalankan tugas presiden Umno.

Kalangan pemimpin parti berkata mereka selesa dan berasa parti mempunyai hala tuju jelas sewaktu berkhidmat bawah kepemimpinan Mohamad.

Ia boleh dirasai sewaktu berkempen dalam PRK Rantau, yang ditandingi Mohamad, kata timbalan ketua Umno Taiping, Ton Zailani Mat Darus.

“Cara pembawaan Tok Mat (Mohamad) boleh diterima oleh semua ahli-ahli parti sekarang. Atas faktor itu mereka banyak yang hadir berkempen datang secara sukarela. 

“Tok Mat hanya membahagikan negeri-negeri mengikut PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan mereka buka sendiri bilik gerakan untuk fokus kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Sebelum Mohamad mengambil alih teraju, parti yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden tidak mempunyai arah tuju yang jelas sehingga menyebabkan 17 ahli Parlimen Umno bertindak keluar parti.

Oleh itu,  Mohamad perlu terus diberikan peranan untuk memimpin parti sehingga PRU15, kata Setiausaha Mubarak Johor, Dr Mohamed Azam Rauzan.

“Cara kerja dan juga pendekatan terhadap jentera dan juga proses pemilihan (calon) parti amat disenangi oleh semua pihak. 

“Beliau harus diberi peranan yang lebih lama supaya ada kesinambungan dengan apa yang dilakukan selama ini.

“Tok Mat berada di landasan yang betul dalam memacu Umno ke arah persediaan menghadapi PRU15,” katanya.

Ahmad Zahid Hamidi masih boleh memainkan peranan untuk meraih sokongan dengan pendekatan tersendiri seperti dilakukan Najib Razak yang mencetus fenomena 'Bossku'. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 April, 2019.

Strategi Mohamad meraih pujian pemimpin ini adalah pemilihan calon untuk PRK Cameron Highlands dan Semenyih yang memberi kemenangan kepada parti.

Di Cameron Highlands, BN memilih calon langsung Ramli Mohd Noor yang tidak mewakili mana-mana parti komponen.

Di Semenyih pula, BN mempertaruhkan Zakaria Hanafi yang hanya merupakan pengerusi tetap Umno Cawangan dan bukannya daripada kalangan pimpinan Umno bahagian seperti kelaziman.

Karier politik Ahmad Zahid berakhir?

Bagaimanapun Zailani dan Dr. Azam menegaskan bahawa sokongan terhadap Mohamad tidak bermaksud mengenepikan Zahid kerana beliau masih merupakan Presiden Umno yang sah.

Menurut Zailani, Zahid masih boleh memainkan peranan untuk meraih sokongan dengan pendekatan tersendiri seperti dilakukan Najib yang mencetus fenomena ‘Bossku’.

“Walaupun Najib diberikan pelbagai tekanan, beliau masih dengan parti dan dia buat dengan cara dia untuk membantu parti. 

“Zahid boleh lakukan perkara yang sama dengan memberi perhatian kepada segmen masyarakat tertentu. 

“Soal parti dalam keadaan sekarang ini pada saya biarlah Tok Mat yang ahli-ahli parti sudah selesa dengan beliau untuk buat kerja,” kata Zailani.

Azam pula berkata Zahid masih lagi presiden Umno tetapi perlu diberi peluang untuk menumpukan perkara peribadi yang dihadapi, seperti tuduhan di mahkamah sebelum kembali aktif.

Bekas Adun Penawar itu berkata, jasa Zahid dalam Umno tidak boleh dilupakan kerana berjaya mengorak langkah dengan membentuk kerjasama dengan PAS.

“Sekarang dia memainkan peranan di balik tadbir dengan cara tersendiri, banyak membantu dengan gerakan di masjid dan surau,” tambah beliau. – 14 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen