12 terbunuh dalam letupan tangki bahan api di Nigeria


Punca utama kemalangan jalan raya di Nigeria adalah pemanduan melulu, laju dan mengabaikan peraturan lalu lintas. – Gambar AFP, 13 April, 2019.

DUA belas orang terbunuh dan 16 yang lain cedera parah apabila sebuah kenderaan membawa bahan api meletup di utara bandar Gombe, Nigeria.

Pemandu kenderaan itu tidak dapat mengawal tangki bahan api ketika cuba menghindari pertembungan dengan trak lain di sebuah jambatan di pinggir bandar itu pada hari Sabtu.

Tangki yang dipenuhi bahan api itu jatuh, dan “menumpahkan kandungannya dan meletup, letupan itu kemudian merebak ke arah pengguna jalan raya yang lalu di kawasan terbabit,” kata jurucakap polis Gombe, Mary Mallum.

“Dua belas orang terbakar sehingga mati manakala 16 yang lain cedera parah dan dipindahkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya, yang turut mengatakan pemandu kenderaan tersebut yang membawa secara laju dan cuai juga menjadi mangsa.

Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di jalan raya Nigeria yang tidak diselenggara dengan baik. Punca utamanya adalah pemanduan melulu, laju dan mengabaikan peraturan lalu lintas.

Sembilan belas orang terbunuh pada 5 April lalu ketika sebuah trak tergelincir di daerah Katsina utara akibat pemandunya “keletihan dan angkutan beban yang berlebihan,” menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya Nigeria. – AFP, 14 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen