JULIAN Assange sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Sweden jika kes rogol melibatkan dirinya dibuka semula, kata peguamnya hari ini.
Bagaimanapun Assange akan menolak sebarang usaha untuk mengekstradisi beliau ke Amerika Syarikat (AS).
“Kita berbesar hati untuk menjawab persoalan itu jika dibangkitkan,” kata Jeniffer Robinson mengulas mengenai dakwaan Assange terlibat dalam kes rogol.
“Isu utama ketika ini adalah ekstradisi ke AS yang telah kami bangkitkan sejak beberapa tahun lalu,” kata peguam wanita itu.
Pengasas WikiLeaks itu kini ditahan di London untuk menunggu hukuman kerana melanggar syarat-syarat ikat jamin di Britain pada 2012 apabila beliau mendapatkan perlindungan di Kedutaan Ecuador di ibu negara itu bagi mengelak diekstradisi ke Sweden.
Beliau ditahan di kedutaan tersebut pada Khamis selepas kerajaan Ecuador menyerahkannya, dan kini berjuang menolak waran ekstradisi AS susulan tindakannya membocorkan maklumat rasmi.
Assange nafi dakwaan serangan seksual dan rogol di Sweden.
Jika Stockholm mengemukakan permintaan rasmi untuk ekstradisi, kerajaan Britain akan membuat keputusan sama ada melakukannya sebelum atau selepas menyerahkan Assange kepada AS.
Robinson berkata Assange mahu mendapatkan jaminan Sweden bahawa beliau tidak akan dihantar ke AS.
“Jaminan yang sama kami minta pada 2010 dan keenggan untuk berbuat demikian menyebabkan beliau mencari perlindungan suaka politik.” – AFP, 14 April, 2019.
Komen