Dr M nasihat belia jangan hanya bergantung kepada kerajaan


Chan Kok Leong

Dr Mahathir berkata kerajaan boleh menyediakan infrastruktur tetapi pada akhirnya, belia perlu bekerja keras untuk menjadi kurang bergantung kepada kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 April, 2019.

BELIA Malaysia mesti belajar untuk menjadi lebih berdikari dan kurang bergantung kepada kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Kita telah jadi (satu masyarakat) yang hanya bergantung kepada kerajaan dan tidak melakukan sesuatu perkara secara berdikari. Kita mesti bertanya “Apa yang boleh saya lakukan untuk bangunkan diri saya sendiri?.”

“Sekiranya kita mempunyai semangat semacam itu, maka kita akan mahu menjadi seorang yang bebas, bahkan daripada kerajaan. Kemudian barulah kita akan berjaya,” kata perdana menteri di hadapan kira-kira 150 belia di forum pagi ini.

Beliau berkata kerajaan boleh menyediakan infrastruktur tetapi pada akhirnya, belia perlu bekerja keras untuk menjadi kurang bergantung kepada kerajaan.

“(JF) Kennedy pernah berkata, jangan tanya apa yang negara boleh lakukan untuk anda tetapi tanyakan apa yang boleh anda lakukan untuk negara anda “.

“Tetapi kami tidak meminta anda berbuat apa-apa untuk kerajaan. Jaga diri anda terlebih dahulu dengan memperbaiki diri dengan menjadi lebih berpendidikan. Itu sendiri merupakan sumbangan kepada negara,” kata ahli politik berusia 93 tahun itu.

Acara yang dianjurkan oleh NGO Semai Nilai itu diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Di forum tersebut, Dr Mahathir juga memuji para belia kerana sangat jelas dalam pembentangan mereka.

“Anda jelas dalam apa yang anda mahu katakan dan amat menyedari persekitaran yang ada sekarang,” kata Dr Mahathir selepas mendengar enam persembahan dalam bahasa Inggeris.

“Dan nampaknya bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh sesetengah orang, semua orang di sini berbahasa Inggeris lebih baik daripada saya,” gurau beliau.

Pembentangan membincangkan isu-isu seperti keperluan untuk lebih banyak peluang penyelidikan dan pembangunan kepada isu-isu digital dan penggunaan teknologi baru untuk pendidikan. Selepas pembentangan tersebut, Dr Mahathir menjawab soalan yang diajukan para belia yang hadir.

Beberapa petikan sesi soal jawab seperti di bawah.

S: Apa yang perlu dilakukan kerajaan bagi mempromosikan perpaduan berbilang kaum?

J: Sama ada kita suka atau tidak, ini adalah negara berbilang kaum. Dan jika anda hanya bergaul dengan kaum anda sahaja dan hanya fikir kejayaan anda sendiri dan bukan orang lain, jelas akan lahir konfrontasi.

Mujurlah di Malaysia, orang ramai tidak bertindak ganas walaupun mereka saling tidak bersetuju. Bagi sesetengah negara, apabila mereka tidak bersetuju, mereka akan ambil tindakan melampau dan berperang dan membunuh sesama mereka.

Kami harap dapat satukan semua kaum secara aman bermula dengan sekolah-sekolah. Tiga kaum dan suku di Sabah dan Sarawak harus pergi ke sekolah yang sama. Itulah keadaan yang ideal.

Tetapi kerana kita adalah negara yang demokratik, kita tidak boleh mengabaikan bantahan orang lain. Mereka juga mempunyai hak. Jadi di sini, kita mempunyai tiga sekolah yang berbeza - negara yang mengajar bahasa Melayu dan sekolah Cina dan Tamil. Tetapi ini membuatkan orang muda dari  kaum lain mereka membesar di persekitaran yang terpencil.

Apabila mereka menjadi dewasa, mereka perlu menyertai tenaga kerja dan mereka perlu berhubung dengan kaum lain. Tetapi kerana latar belakang pendidikan mereka ini, ia menjadi masalah kerana mereka tidak boleh berinteraksi dengan baik dengan kaum lain.

S: Apakah cabaran untuk menjadi negara yang menghasilkan barangan?

J: Tidak seperti dahulu, nilai yang betul tidak diwariskan. Oleh itu, kita telah menjadi negara pengguna dan bukan negara pengeluar. Ini tidak bermakna kita berhenti membeli dari orang lain tetapi kita mesti belajar bagaimana untuk menyediakan barangan kita sendiri.

Sekolah adalah tempat pertama di mana anda belajar sains dan matematik supaya anda belajar membuat sendiri barangan anda. Dan bukan hanya bergantung pada baranganb import.

Tetapi kita mendapati bahawa rakyat Malaysia, walaupun mereka boleh menghasilkan barangan mereka sendiri, mereka tidak membelinya. Sebagai contoh, Proton tidak begitu popular sekarang. Pada satu masa, 80% pasaran dikuasai Proton tetapi kini hanya 17%. Bukannya produk itu buruk tetapi sesetengah berpendapat produk tempatan tidak begitu baik.

Apabila kita melakukan terlalu banyak itu, wang kita mengalir keluar. Itulah sebabnya penting kita mesti menyumbang sesuatu untuk kesejahteraan negara kita sendiri.

Apabila anda membeli barangan tempatan, anda membantu wang tersebut terus beredar di negara ini. Jika kita hanya membeli barangan asing, kita akan musnahkan kewangan negara kita sendiri.

S: Apa yang perlu dilakukan oleh belia?

J: Jika anda ingin berjaya, anda perlu bersedia. Untuk bersedia, Anda perlukan pengalaman, nilai-nilai yang baik, dan Anda harus dapat mengendalikan diri sendiri.

Apabila anda mempunyai banyak wang, anda boleh belanja banyak. Tetapi jika anda tidak banyak wang, anda perlu berhemah dalam berbelanja. Begitu juga dengan negara. Jika negara menjadi miskin, kita perlu mengetatkan tali pinggang. Kita perlu hidup di tahap yang kita mampu.

Sekiranya kita berbuat demikian, golongan belia akan dapat menangani sebarang krisis.

S: Siapakah contoh yang menjadi model untuk anda?

J: Nabi adalah contoh yang baik. Beliau mampu menukar Arab yang tidak bertamadun untuk menjadi tamadun yang paling berkuasa di dunia. Pada satu masa, tamadun Islam memimpin dunia dalam sains, perubatan dan matematik. Jelas sekali, bagi seorang Muslim, Nabi adalah model peranan yang terbaik untuk dimiliki.

Satu lagi contoh yang baik ialah Peter the Great of Russia. Berbeza jauh daripada Nabi, kan. Rusia adalah negara yang sangat mundur ketika itu dan paling terbelakang di seluruh Eropah. Tetapi Peter mahu Rusia menjadi maju Eropah Barat dan memaksa pelbagai amalan untuk menjadikan mereka lebih bertamadun.

Peter the Great adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Rusia sebuah negara yang kuat hari ini. Dia dapat mengubah minda rakyatnya untuk menerima nilai-nilai yang datang dari Barat.

Di Malaysia, kita juga perlu mengubah minda rakyat. Terdapat tiga kaum utama di sini tetapi pembangunan di kalangan mereka tidak setara. Satu sangat kaya dan yang lain sangat miskin. Tetapi memberi wang kepada golongan miskin bukan penyelesaian kerana ia akan melemahkan mereka. Mereka menjadi sangat bergantung kepada kerajaan. Tetapi jika anda memasukkan nilai-nilai yang betul seperti ketekunan, disiplin dan integriti, mereka akan dapat tingkatkan diri mereka dan mengejar kejayaan dengan berdikari.

Model yang baik adalah seperti Nabi yang dapat mengubah minda orang-orang Arab yang jahil sehingga mereka dapat berjaya sendiri.

S: Dengan ketidakpastian ekonomi hari ini, apa yang akan anda lakukan jika anda berusia 18 tahun sekarang?

J: Saya akan lakukan segala yang saya boleh untuk perbaiki keadaan saya.

Ketika saya berusia 16 tahun, saya belajar di sekolah tetapi berhenti kerana negara diserang Jepun. Saya boleh pergi ke sekolah Jepun tetapi saya fikir mereka akan kalah ... Jadi mengapa saya harus belajar bahasa mereka?

Itulah kesalahan besar saya. Saya sepatutnya belajar bahasa baru.

Saya kembali ke sekolah selepas itu dan membentuk sekumpulan pemberontak untuk menentang British dan Malayan Union. Dan begitulah saya terlibat dalam politik. Tetapi tidak semua orang perlu berbuat demikian. – 14 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen