PENGUNDIAN awal Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia yang berlangsung hari ini di Kedutaan Besar Indonesia di Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, berjalan lancar dan terkawal setakat tengah hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wang Supt Rudy Abdullah berkata tiada perkara tidak diingini dilaporkan setakat ini dan polis sedang mengawal lalu lintas di jalan berkenaan bagi mengelakkan kesesakan.
“Dianggarkan 1,000 rakyat Indonesia berada di hadapan kedutaan republik itu sejak pagi tadi untuk mengundi sehingga 6 petang nanti,” katanya ketika ditemui Bernama.
Pada Pilpres 2019, Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua, bergandingan dengan pasangan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib presiden.
Mereka dicabar bekas ketua tentera Prabowo Subianto yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno, 49.
Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU), 711 kerusi menjadi rebutan dalam Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) yang terdiri daripada 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD).
Juga terbuka untuk rebutan ialah lebih 19,500 kerusi di lebih 2,000 daerah, perbandaran dan daerah pemilihan dewan legislatif.
Di Sabah, proses pengundian awal yang berlangsung di Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) juga berjalan lancar.
Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu Krishna Djelani berkata rakyat Indonesia sekitar bandaraya dan kawasan berhampiran mulai memenuhi perkarangan pejabat itu seawal jam 8 pagi tadi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata semangat warga Indonesia di Sabah pada Pemilihan Umum (Pemilu) kali ini sangat besar berdasarkan kehadiran jumlah pengundi di Tempat Pungutan Suara (TPS) berkenaan sejak dua jam pertama ia dibuka pagi tadi bagi proses pengundian.
Selain KJRI yang dibuka sehingga 6 petang ini, Krishna berkata, satu lagi TPS beroperasi bagi proses pengundian itu ialah Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), dekat Sepanggar.
“Seramai 11,287 warga Indonesia di Sabah berdaftar sebagai pemilih mengikuti metod TPS yang diadakan di dua tempat iaitu di pejabat KJRI dan SIKK. Di KJRI, sebanyak 19 TPS disediakan dan diharapkan kira-kira 9,000 pengundi (keluar) mengundi di sini, manakala di SIKK pula sebanyak tujuh TPS dengan sekitar 2,000 pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu, hari ini. – Bernama, 14 April, 2019.
Komen