Pakatan akan ambil tindakan terhadap ahli Parlimen tak hadir 


Khoo Gek San

Pengerusi BBC Johari Abdul kecewa dengan segelintir ahli Parlimen yang gagal hadir pada undian penting Rabu lalu dan meminta mereka berikan sebab.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2019

PAKATAN Harapan akan mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen yang tidak hadir ketika pengundian usul pindaan perlembagaan pada Rabu dan sekiranya mereka gagal memberikan alasan kukuh atas ketidakhadiran mereka, kata pengerusi Majlis Ahli-ahli Backbencher (BBC).

Johari Abdul, yang juga ahli Parlimen Sungai Petani, turut mengesahkan empat daripada ahli parlimennya terlepas pengundian itu. 

Usul kerajaan itu gagal selepas kekurangan 148 ahli yang diperlukan. Kerajaan menerima 138 undi yang menyokong manakala 59 ahli Parlimen, termasuk dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkecuali. Pembangkang membantah usul berkenaan. 

Empat ahli Parlimen PH yang tidak hadir pada hari itu adalah Menteri Pendidikan Maszlee Malik (Simpang Renggam), Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar (Hang Tuah Jaya), Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dan Ahli Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahya.

Johari berkata, Shamsul dan Noor Amin ketika itu berada di Amerika Syarikat manakala Muslimin tidak sihat. 

Mengenai Maszlee, Johari berkata beliau tidak pasti sebab ketidakhadirannya, dan menambah beliau akan bertanya kepada menteri dari Bersatu itu. 

“Saya akan hubungi mereka (Shamsul dan Noor Amin) sebaik sahaja mereka kembali dari AS. Sudah tentu semua ahli Parlimen perlu tahu mengenai pengundian ini.

“Mereka maklumkan kepada saya sebelum ini yang mereka akan ke luar negara tetapi saya tidak ingat tarikhnya. Mereka perlu dapatkan kebenaran untuk tidak hadir.

“Saya tidak gembira (dengan tindakan mereka). Walau apa pun kita akan tunggu sehingga mereka balik. Kita akan dengar daripada mereka dan putuskan (tindakan disiplin),” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Cubaan gabungan pemerintah cuba untuk meminda perlembagaan persekutuan bagi mengembalikan hak sama rata Sabah dan Sarawak dalam persekutuan tidak berjaya selepas gagal memperoleh majoriti dua pertiga.

Walaupun dengan kehadiran empat ahli Parlimen terbabit, ia masih tidak dapat membolehkan kerajaan meluluskan usul itu. – 14 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen