Pesawat terbesar di dunia lakukan ujian penerbangan pertama


Pesawat Stratolaunch yang mempunyai dua fiuslaj dan enam enjin Boeing 747 melakukan ujian penerbangan pertamanya di Gurun Mojave di California.– Gambar Youtube, 14 April, 2019

PESAWAT terbesar di dunia, Stratolaunch yang mempunyai dua fiuslaj dan enam enjin Boeing 747, melakukan ujian penerbangan pertamanya pada Sabtu di California.

Ujian penerbangan sulung pesawat itu dijalankan di Gurun Mojave.

Ia direka khas untuk memberikan cara yang lebih fleksibel untuk melancarkan satelit berbanding pelepasan menegak roket kerana cara ini memerlukan landasan untuk berlepas yang lebih panjang.

Ia dibina oleh syarikat kejuruteraan Scaled Composites.

Saiz pesawat berkenaan begitu besar yang mana sayapnya berukuran lebih panang berbanding padang bola sepak, atau 1.5 kali ganda lebih panjang berbanding pesawat Airbus A380.

Sayapnya berukuran 117 meter, manakala sayap pesawat Airbus A380 hanya berukuran di bawah 80 meter.

Pesawat berkenaan terbang kira-kira dua setengah jam. Sehingga kini, ia hanya menjalankan ujian lapangan.

Kelajuannya menapai 304 kilometer sejam dan mencecah altitud 17,000 kaki, atau 5,182 meter.

“Ia penerbangan sulung yang menakjubkan,” kata CEO Stratolaunch, Jean Floyd.

“Penerbangan hari ini melebarkan lagi misi kami untuk menyediakan alternatif fleksibel kepada sistem pelancaran darat,” tambahnya.

Stratolunch dibiaya oleh Paul Allen, pengasas bersama Microsoft sebagai cara untuk memasuki pasaran bagi melancarkan satelit kecil.

Namun Allen meninggal dunia pada Oktober tahun lalu dan masa depan syarikat berkenaan masih tiada kepastian. – AFP, 14 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen