Mohamad ubah penyokong Pakatan kepada BN di Rantau


Sheridan Mahavera

Calon Barisan Nasional Mohamad Hasan memenangi pilihan raya kecil DUN Rantau dengan majoriti yang besar menewaskan calon Pakatan Harapan Dr S Streram dan dua calon bebas.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 April, 2019

KEMENANGAN Mohamad Hasan pada pilihan raya kecil DUN Rantau sememangnya sudah dijangka.

Apa yang tidak dijangkakan adalah bagaimana beliau mampu mengubah orang yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 untuk menyokong gabungan Barisan Nasional.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga memberi kekalahan paling teruk kepada PH pada pilihan raya kecil, yang mana beliau dan BN menewaskan pakatan pemerintah dengan 4,510 undi, sekaligus memenangi majoriti terbesar berbanding kemenangan BN di Cameron Highlands (3,238) dan Semenyih (1,914).

Sebilangan trend mengundi di semua 14 pusat daerah mengundi (PDM) bagi kerusi Negeri Sembilan itu menunjukkan bahawa Mohamad mendapat lebih banyak undian daripada apa yang BN peroleh pada PRU14.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat, meraih undi BN dan sekutu pembangkangnya PAS. Beliau juga berjaya membuatkan rakyat yang mengundi PH pada PRU14 beralih arah untuk menyokongnya. 

Mohamad mampu memenangi empat daripada lima daerah yang mempunyai peratusan penduduk India dan Cina yang tinggi - pengundi yang merupakan penyokong kuat PH pada PRU14. Beliau mampu memenangi Linsum yang mempunyai 54% bukan Melayu, Pekan Sagga (80% bukan-Melayu), Rantau (83% bukan-Melayu) dan Kuala Sawah (55% bukan-Melayu).

Aktivis PH yang memancing undi sepanjang tempoh berkempen mengakui teruji dengan kedudukan Mohamad, mengatakan bagaimana penduduk tempatan bercakap tentang bekas menteri besar yang dianggap sebagai legenda ketika mereka bertungkus mempromosikan calon mereka sendiri Dr S Streram.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan sangat disenangi penduduk di kawasan DUN Rantau menyebabkan beliau mampu memenangi kerusi itu dengan mudah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 April, 2019

Mohamad tidak bertanding pada PRU14, tetapi sokongan BN di Rantau dapat diekstrapolasi daripada undi yang diterima untuk kerusi Parlimen Rembau. Rantau bersama Paroi, Kota dan Chembong, membentuk kerusi Rembau, yang dipertandingkan dalam PRU14 oleh Khairy Jamaluddin.

Mengikut jumlah undi oleh Institut Darul Ehsan, Mohamad berjaya mendapat 1,633 undi di PDM Sendayan, iaitu 368 undi lebih banyak berbanding gabungan BN dan PAS pada PRU14.

Di Rantau, yang mana masyarakat Cina dan India adalah terdiri daripada 83%, Mohamad menerima lebih 228 undi berbanding undian BN-PAS sebanyak 933 pada PRU14. 

Di Pekan Sagga yang mana kaum India dan Cina membentuk 80% pengundi, jumlah undi BN-PAS adalah 254 pada PRU14. Mohamad menambahnya kepada 310.

Trend ini berulang di kesemua 14 PDM, yang mana Mohamad boleh memenangi antara 50 hingga 300 undi lebih banyak dariada gabungan PAS-BN pada PRU14.

Aktivis PH berkata, Mohamad terus menolak sentimen BN tidak popular dalam kalangan bukan Melayu kerana beliau dikenali dalam kalangan masyarakat ini. 

“Penduduk India memberitahu saya, Mohamad sangat popular dalam kalangan masyarakat ini ketika beliau menjadi menteri besar. Apabila beliau turun padang di Rantau, beliau akan mendekati masyarakat di jalanan dan bertanya mereka masalah yang dihadapi.

Ramai dalam kalangan penyokong PH beralih arah dan menyokong Barisan Nasional pada PRK DUN Rantau.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2019   

“Jika penduduk menyatakan mereka sangat susah, beliau akan berikan duit dari poketnya sendiri. Beliau sangat disukai,” kata salah seorang aktivis PH dari Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Jamal. 

“Dan penduduk India yang beritahu saya perkara ini ialah India yang hadir pada ceramah PH. Dan bagi pengundi Melayu, terdapat penduduk kampung dan kejiranan yang kami pergi memberitahu kami, Tok Mat tidak payah datang pun ke sini, kami akan mengundi beliau,” kata Jamal. 

Mohamad memegang jawatan sebagai menteri besar sejak 2004, namun beliau mewakili Rantau sejak 1999. 

Yahya Saari dari Institut Darul Ehsan berkata, berbanding dengan pilihan raya kecil lain, yang ini dipacu oleh kedudukan penyandangnya. 

“Apabila kami membuat tinjauan di semua daerah, kami mendapati bahawa beliau mempunyai rating kelulusan 89%. Kedudukan kelulusan terendah yang dia ada ialah 79%. Sekalipun Mohamad bertanding dalam PRU14, dia akan menang. Isu-isu lain dalam pilihan raya kecil itu tidak penting.” – 14 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen