MAHKAMAH Agung India pada hari Jumaat mengarahkan parti-parti politik untuk menamakan penderma-penderma dana bernilai jutaan dolar ketika permusuhan sesama mereka semakin meningkat dalam pilihan raya mega negara itu.
Perintah itu tampil menjelang pusingan kedua pengundian dan selepas pemantau pilihan raya menggesa supaya saluran televisyen peribadi Perdana Menteri Narendra Modi disekat, kerana ia dilihat melanggar peraturan kempen.
Sementara Modi dan saingan pembangkangnya, Rahul Gandhi meneruskan kempen mereka, mahkamah tertinggi negara itu memberi tujuh hari kepada parti-parti politik untuk menamakan orang yang bertanggungjawab menyalurkan dana bagi membeli “bon-bon pilihan raya” dalam beberapa bulan sebelum ini.
Parti-parti politik yang bersaing dikatakan membelanjakan sehingga AS$7 bilion pada pilihan raya tersebut, yang bermula Khamis lalu dan berjalan hingga 19 Mei depan, isu sumber pendanaan bagi pilihan raya negara itu telah menjadi perhatian ramai pihak.
Bon-bo tersebut dikatakan dibeli antara AS$15 dan AS$140,000 dan kemudian diberikan kepada pihak yang ditetapkan. Bon tersebut menjadi kontroversi kerana mereka yang membelinya adalah pihak yang tidak dikenali.
Suruhanjaya Pilihan Raya India dan kumpulan pemantau pilihan raya India yang membawa kes itu ke Mahkamah Agung berkata bon tersebut harus dihentikan kerana ia memiliki risiko beberapa perniagaan membuat sumbangan rahsia bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Kerajaan Modi, yang memperkenalkan bon tersebut pada tahun 2017, menentang penamaan para pendermanya. Parti Bharatiya Janata (BJP) adalah penerima terbesar bon berkenaan, menurut Persatuan Pembaharuan Demokratik (ADR), salah satu pihak yang mendedahkan kes itu.
Lebih daripada AS$150 juta dalam bon telah dibeli pada tahun 2018, menurut portal data kewartawanan Factly India.
Pakar menganggarkan sekurang-kurangnya jumlah bon yang sama turut dibeli pada bulan-bulan sebelum pilihan raya tersebut dimulakan. – AFP, 13 April, 2019.
Komen