POLIS Vietnam mengeluarkan waran tangkap pada hari Sabtu terhadap saudara kandung lelaki terkaya negara itu kerana didakwa memberi rasuah kepada pegawai kerajaan dalam skandal telekomunikasi, lapor media kerajaan.
Waran tangkap tersebut dilihat mengejutkan negara itu susulan perkembangan usaha negara komunis itu memperluaskan operasi membanteras rasuah.
Kepimpinan konservatif yang berkuasa di negara satu parti yang memenangi pilihan raya 2016 telah melaksanakan kempen membasmi rasuah dan meyasarkan beberapa anggota eksekutif yang sebelum ini pernah dianggap tidak dapat disentuh di Vietnam, salah satu negara yang paling tinggi kadar rasuahnya di Asia.
Puluhan individu sudah dipenjarakan, kebanyakan mereka adalah daripada sektor minyak negara yang dikuasai oleh kerajaan, tindakan tersebut berjaya menakutkan lingkungan perniagaan dan ahli politik.
Terbaharu, usaha pembasmian rasuah telah menangkap Pham Nhat Vu, bekas pengerusi sebuah syarikat televisyen Audio Visual Global (AVG), yang merupakan saudara kandung lelaki terkaya Vietnam yang memiliki harta bernilai AS$7.6 bilion menurut Forbes.
Vu terperangkap dalam skandal yang mengejutkan tahun lalu apabila kerajaan mula menyiasat percubaan pembelian syarikat telekomunikasi Mobifone yang dikuasai kerajaan oleh AVG.
Walaupun pembelian tersebut tidak berjaya, para pegawai kerajaan mengatakan ia akan menyebabkan keruagian bernilai AS$300 juta dana negara tersebut.
Pihak polis kemudiannya telah “memutuskan untuk menyiasat, menangkap dan mencari tempat kediaman Vu ... yang dituduh memberi rasuah,” lapor akhbar dalam talian, Cong An Nhan Dan, yang merupakan lidah rasmi Kementerian Keselamatan Awam Vietnam pada hari Sabtu.
Jumlah yang dikatakan telah dibayar Vu dalam skandal rasuah tersebut bagaimanapun tidak dilaporkan.
Saudara lelaki Vu, Pham Nhat Vuong adalah lelaki terkaya Vietnam dan ketua VinGroup, konglomerat terbesar di negara itu dengan memiliki pelbagai portfolio perniagaan termasuk pusat percutian, kondominium mewah, pusat membeli-belah, kedai serbaneka dan pasar raya di seluruh negara. – AFP, 13 April, 2019.
Komen