PENGETUA Darul Quran Ittifaqiyyah Muhammad Zahid Mahmod enggan memberi sebarang komen mengenai kejadian di pusat tahfiz yang mengorbankan 23 nyawa semalam termasuk dakwaan pihaknya melakukan pengubahsuaian pada premis.
“Ketua polis negara tidak beri saya buat kenyataan. Cuba tanya MAIWP,” katanya kepada media sambil menggelengkan kepalanya.
Beliau menjawab persoalan wartawan mengenai milikan sebenar bangunan tiga tingkat di Datuk Keramat itu.
Pada masa sama, timbalannya membuat penafian membuat sebarang pengubahsuaian termasuk penghadang tambahan yang diletakkan di premis berkenaan.
Roslan Awang Ali mendakwa bangunan kini dibawah kuasa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selepas diserahkan pemilik asal sebagai wakaf (derma), lapor New Straits Times.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Paimuzi Yahya turut enggan memberikan sebarang komen.
“Menteri (Jamil Khir) sudah bagi kenyataan. Tidak apalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar berkata sekolah itu beroperasi tanpa permit dan pelan struktur bangunan yang dihantar kepada pihak berkuasa berlainan dengan struktur asal sekolah itu.
Pihak bomba pula mendapati ada penghadang tambahan yang dibina secara rambang dalam asrama pusat tahfiz itu, yang dipercayai menyukarkan mangsa menyelamatkan diri.
Di bawah undang-undang kerajaan tempatan, sesebuah bangunan yang digunakan misalnya sebagai sekolah atau asrama hanya boleh beroperasi selepas mendapat semua sijil kelulusan yang diperlukan. – 15 September, 2017.
Komen