SEBAHAGIAN penduduk yang panik akibat gempa bumi di kepulauan Indonesia, enggan pulang ke rumah masing-masing selepas berlaku gegaran dan amaran tsunami dikeluarkan semalam, kata pihak berkuasa.
Gegaran gempa susulan dirasakan di seluruh pantai timur Sulawesi – pulau di mana ribuan terbunuh dalam gempa bumi tsunami tahun lalu.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menilai sama ada berlaku kematian atau kemusnahan besar akibat gegaran terbaru itu.
Walaupun ada seorang penduduk di bandar Luwuk dilaporkan meninggal dunia selepas cuba untuk melarikan diri, pihak berkuasa belum mengesahkan sebarang kematian atau kecederaan.
Wartawan melaporkan tiada tanda kerosakan besar bangunan.
Kira-kira 1,300 keluarga kembali ke rumah masing-masing, kata agensi pengurusan bencana, menambah sebahagian penduduk pulau kecil berhampiran pusat gegaran itu masih enggan kembali dari tempat perlindungan di kawasan tinggi.
Tidak dapat diketahui berapa ramai yang enggan meninggalkan kawasan tanah tinggi.
Semalam, amaran tsunami dikeluarkan untuk masyarakat pesisir pantai di daerah Morowali, di mana penduduk dinasihatkan berpindah jauh dari pantai.
Amaran itu kemudian ditarik balik oleh agensi bencana, yang menganggarkan ombak di baah setengah meter.
Rakaman video menunjukkan penduduk di Luwuk – sebahagian mendukung anak – melarikan diri dari rumah masing-masing dan bergegas naik ke kawasan tinggi dengan motosikal.
Gempa bumi itu sedalam 17km di Sulawesi, di mana gemba tsunami berukuran 7.5-magnitud berlaku di sekitar Palu yang membunuh 4,300 orang tahun lalu.
Penduduk Palu, yang terletak beberapa ratus kilometer dari pusat gegaran semalam, masih turut terasa gegaran. – AFP, 13 April, 2019.
Komen