ORGANISASI Kesihatan Dunia (WHO) semalam berkata wabak Ebola di Congo belum boleh dianggap darurat kesihatan antarabangsa, walaupun jumlah kes terus meningkat.
“Jawatankuasa Kecemasan menyimpulkan yang wabak semasa tidak dianggap sebagai Darurat Kesihatan Awan untuk Kebimbangan Antarabangsa,” kata Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada media selepas mesyuarat di Geneva.
Keputusan itu “tidak membawa perbezaan kepada komitmen dan keupayaan kami untuk melawan wabak,” tambahnya.
Ini adalah kali kedua Tedros mengadakan mesyuarat jawatankuasa kecemasan agensi kesihatan PBB itu.
Oktober lalu, pakar WHO mengeluarkan kenyataan wabak Ebola “sangat membimbangkan” tetapi tidak mencetuskan darurat antarabangsa.
“Walaupun wujud kebimbangan dalam negara serantau, wabak itu tidak merebak secara global,” kata Ketua Jawatankuasa Robert Steffen semalam.
Tambahnya, walaupun wabak itu sudah lama, “kami tidak merasakan akan ada manfaat untuk mengisytiharkan darurat antarabangsa,” kerana kerja cemerlang dilakukan WHO dan pelbagai rakan di lapangan, tambah Steffen.
Tetapi, beliau turut menggesa usaha digandakan “untuk mengesan kes, mengenal pasti dan menghubungi hubungan penyakit”.
Tedros juga memohon bantuan kewangan antarabangsa untuk menamatkan wabak itu.
Menurutnya, setakat Julai, jumlah dana untuk memerangi wabak sebanyak AS$104 juta.
Congo mengisytiharkan wabak ebola ke-10 dalam tempoh 40 tahun Ogos lepas berlaku di Utara Kivu sebelum merebak ke daerah berjiran, Ituri.
Pusat wabak tertumpu di Mangina, tetapi berubah ke bandar Beni di mana jumlah kematian lebih tinggi.
Organisasi tempatan berkata jumlah kematian kerana wabak sedang meningkat.
Sejak wabak tercetus, jumlah kes sah adalah 1,186 dengan 751 kematian, menurut data WHO pada 9 April.
Perang melawan wabak diburukkan dengan ketegangan pihak bersenjata di negara itu.
Tambahan pula, wujud penentangan dalam sebilangan masyarakat untuk memerangi wabak itu.
Tedros berkata masyarakat perlu terlibat dalam memerangi wabak itu.
“Tanpanya, kita tak boleh hentikan wabak. Kita ada buat beberapa progres melalui dialog dan rundingan.” – AFP, 13 April, 2019.
Komen