‘Mikhail Gorbachev’ bertanding pilihan raya Indonesia


Mikhail Gorbachev Indonesia salah seorang daripada 245,000 calon merebut kerusi Parlimen Indonesia. – Gambar AFP, 13 April, 2019.

MIKHAIL Gorbachev bertanding pilihan raya Indonesia minggu depan, tetapi pemilik nama itu bukanlah bekas pemimpin agung Soviet yang membantu menamatkan Perang Dingin.

Lelaki berusia 32 tahun itu-nama penuh-Mikhail Gorbachev Dom- sedang bertanding merebut kerusi Parlimen, salah seorang daripada 245,000 calon bertanding pada pilihan raya umum terbesar negara Asia Tenggara itu pada 17 April depan.

Bekas penyelidik alam sekitar itu dilahirkan pada 1986, ketika orang bernama sama dengannya menang Hadiah Nobel kerana menggerakkan usaha yang memulakan kejatuhan Kesatuan Soviet.

Bagaimanapun, kisah bagaimana beliau mendapat namanya tidaklah menggemparkan.

“Ibu bapa saya sangat pasti mereka akan dapat anak perempuan jadi bila saya lahir mereka panik kerana mereka tidak ada nama untuk anak lelaki,” kata penduduk Jakarta itu kepada AFP.

Selama seminggu selepas dilahirkan beliau masih tidak bernama, hinggalah ayahnya nampak nama Gorbachev di akhbar.

“Ayah saya rasa nama itu bagus dan dia adalah pemimpin berpengaruh Kesatuan Soviet jadi mereka mahu namakan anak lelaki mereka dengan nama itu,” katanya.

Nama luar biasa itu tidak memudahkan Gorbachev yang kini masih gemar menggunakan nama pendeknya, Gorba.

Tetapi, ia membantunya masuk politik selepas bertahun perjuangan alam sekitar mengecewakannya.

“Saya sedar saya perlu masuk politik untuk pastikan dasar (alam sekitar) dilaksanakan,” katanya.

“Sekarang, saya fikir nama saya membantu…orang tak akan lupa nama, walaupun mereka tak ingat rupa saya.” – AFP, 13 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen