INDIA hari ini mengenang ulang tahun ke-100 pembunuhan beramai-ramai Amritsar, salah satu daripada insiden terburuk di bawah penjajahan British, di mana London sehingga kini belum pernah meminta maaf atas kejadian itu.
Dikenali di India sebagai pembunuhan beramai-ramai Jallianwala Bagh, dalam insiden itu tentera British menembak ribuan rakyat tidak bersenjata di Amritsar pada 13 April, 1919.
Jumlah kematian tidak jelas, dengan rekod era penjajah menunjukkan kira-kira 400 mangsa, sementara jumlah direkodkan India hampir 1,000.
Bekas perdana menteri Britain David Cameron menyifatkan ia sebagai “sangat memalukan” ketika kunjungannya ke utara India pada 2013, tetapi tidak meminta maaf.
Pada 1997, Ratu Elizabeth II meletakkan kalungan bunga di tapak kejadian tetapi kecoh apabila suaminya Putera Philip dilaporkan berkata anggaran kematian yang diberikan India “diperbesar-besarkan”.
Minggu ini, Perdana Menteri Britain Theresa May memberitahu Dewan Rakyat bahawa pembunuhan beramai-ramai itu “parut yang memalukan dalam sejarah British India”.
“Kami kesal dengan apa yang berlaku dan kesengsaraan yang terpaksa dialami,” kata May tetapi beliau juga mengelak untuk berkata maaf.
Ketua Menteri Punjab Amarinder Singh berkata kata-kata May itu tidak cukup.
Katanya, ribuan menghadiri acara menyalakan lilin semalam sebagai memperingati mangsa.
Kira-kira 10,000 orang lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata berkumpul di Jallianwala Bagh, sebuah taman awam yang berpagarkan tembok tinggi di Amritsar pada petang 13 April, 1919.
Ramai yang marah ketika itu kerana langkah penindasan yang berterusan dan penahanan dua pemimpin tempatan, hingga tercetus protes keganasan, tiga hari sebelum itu.
Tarikh 13 April juga festival musim bunga, dan orang ramai dianggarkan kira-kira 20,000 termasuk penganut Sikh berkunjung ke Kuil Emas yang terletak berhampiran.
Briged Jeneral Reginald Edward Harry Dyer kemudian tiba dengan berpuluh-puluh pasukan tentera, menutup jalan keluar dan tanpa amaran, mengarahkan tembakan dilepaskan.
Ramai yang juga melarikan diri dengan memanjat dinding tinggi di sekeliling kawasan itu. Sementara yang lain melompat ke perigi terbuka ketika tentera menembak.
Salah seorang saksi yang terselamat bercerita tentang kejadian itu dan kemudian dikumpulkan oleh dua pakar sejarah dan diterbitkan dalam akhbar Indian Express minggu ini. – AFP, 13 April, 2019.
Komen