Bekas jeneral Venezuela ditahan di Sepanyol


Bekas jeneral Venezuela Hugo Carvajal ditahan di Madrid semalam atas kesalahan mengedar dadah jenis kokain. – Gambar fail AFP, 13 April, 2019.

BEKAS jeneral Venezuela Hugo Carvajal, ketua tentera risikan di bawah Hugo Chavez, ditahan semalam di Madrid atas waran Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan mengedar dadah jenis kokain, kata sumber polis dan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Carvajal yang mendapat jolokan gelaran “El Pollo” (Si Ayam) ditahan di rumah anak lelakinya oleh polis Sepanyol.

Beliau menjadi perhatian baru-baru ini kerana menyuarakan sokongan kepada pemimpin pembangkang Venezuela Juan Guaido.

Dalam satu kenyataan DoJ berkata jika disabitkan, Carvajal berdepan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan konspirasi mengimport kokain ke AS.

Carvajal sudah lama diburu oleh pegawai Perbendaharaan AS yang mengesyaki beliau menyokong penyeludupan dadah oleh gerila FARC Colombia.

Pada Mei 2013, mahkamah di Florida mendakwanya bekerja untuk penyeludup dadah Colombia dari 2004 hingga 2010.

Pada 2014, Carvajal ditahan di Aruba, kepulauan Belanda di mana beliau konsul Venezuela, tetapi melarikan diri pulang ke Venezuela selepas menggunakan imuniti diplomatik. – AFP, 13 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen