MENTERI M Kulasegaran dikecam atas kenyataan perkauman yang menyeru pengundi India memilih calon dari masyarakat itu, Dr S Streram dan menolak calon Melayu, Mohamad Hasan.
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dalam ceramah pada malam penutup kempen malam tadi berkata, kenyataan pemimpin DAP itu jelas bersifat rasis.
Beliau antara lain membangkitkan kenyataan Kulasegaran yang mendakwa Melayu sebagai bangsa pendatang dan kenyataan menteri itu sewaktu tragedi rusuhan di kuil akhir tahun lalu.
“Suatu ketika dulu Kulasegaran pernah keluar kenyataan kontroversi Melayu ini kaum pendatang. Masa kes pegawai bomba Adib, dia salahkan polis.
“Dua malam sudah dia datang ke Rantau bagi ucapan dalam bahasa Tamil di depan masyarakat India. Tidak ada masalah.
“Tetapi yang menjadi masalah dia cakap orang India mesti sokong calon PH sebab dia bangsa kita (India), darah kita sebab itu kita mesti sokong dia (Streram),” kata Khairy.
Bekas menteri itu merujuk rakaman didakwa sebagai ucapan Kulasegaran di Rantau pada Rabu, sewaktu berkempen untuk calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Dun tersebut.
Khairy turut membangkitkan bahawa Kulasegaran dalam ucapan tersebut menyatakan bahawa beliau juga tidak akan makan di kedai bukan India.
“Dengan bangga dia boleh kata bila dia datang Rantau, tidak akan pergi makan di kedai makan Melayu, Cina dan hanya akan pergi makan di kedai makan India.
“(Kulasegaran kata) Bangsa kita mestilah sokong orang kita.
“Kulasegaran terang-terang rasis, minta orang India jangan sokong Mat Hasan, sokong Streram sebab Streram adalah India. Apa jenis politik ini?”

Khairy memberi amaran, negara akan punah-ranah sekiranya kempen perkauman itu diteruskan oleh DAP yang menurutnya tidak mengamalkan seruan parti itu sendiri.
“DAP kata parti Malaysian Malaysia, tidak ada lagi politik perkauman, kata Umno rasis masih mahu bercakap mengenai kepentingan orang Melayu.
Isu itu timbul selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang tampil dalam kempen itu dengan seruan supaya pengundi memilih Mohamad dengan alasan Rantau mempunyai majoriti orang Melayu Islam.
Hadi berkata langkah itu tidak akan mengetepikan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu kerana agama itu memerintahkan penganutnya supaya adil kepada semua kaum.
“Mesti faham makna mengundi itu. Kewajipan memilih pemimpin yang mewakili kawasan ini.
“Di sini kita belajar mengapa kita pilih Mat Hasan. Dia Melayu-Islam. Bukan mengetepikan India, Cina dan lain-lain tetapi kerana dominasi kawasan ini ialah Melayu Islam,” katanya.
Dalam ucapan sewaktu sepentas dengan Mohamad pada Khamis, Hadi berkata pengundi juga perlu menerima kontrak sosial bagi mengelak perkelahian antara kaum.
Seruan itu bagi menidakkan peluang PH, yang mempertaruhkan calon keturunan India, Streram di kawasan dengan majoriti pengundi Melayu (53% ) itu.
Pengundi India membentuk 27% serta Cina 19% dalam kawasan meliputi 14 pusat daerah mengundi.
Seramai 20,793 orang daripada 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi hari ini dan daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang mengundi secara pos. – 13 April, 2019.
Komen