PUTRAJAYA perlu serta-merta mencari apa berlaku kepada dua aktivis di mana Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) memutuskan mereka diculik oleh Cawangan Khas, kata isteri salah seorang daripada individu terbabit.
Norhayati Arrifin berkata tidak ada siapa yang kisah dengan nasib mereka sepanjang dua tahun selepas kehilangan misteri suaminya Pengasas Perlis Hope Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.
“Mereka perlu mula menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat semula kes itu dan mencari mereka yang bertanggungjawab,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Mereka yang mengarahkan penculikan itu perlu dibawa ke muka pengadilan.”
Amri diculik pada November 2016 berhampiran rumahnya di Kangar, Perlis sementara Koh diculik pada Februari 2017 di Subang Jaya, Selangor. Hingga ke hari ini, tiada khabar berita di mana mereka berada.
Pada 3 April, selepas 18 bulan siasatan awam dijalankan, Suhakam membuat keputusan bahawa polis Cawangan Khas dari Bukit Aman menculik dua lelaki itu.
Panel Suhakam membuat keputusan itu berdasarkan kepada bukti langsung dan mengikut keadaan serta selepas menilai semua bukti secara komprehensif.
Keputusan itu bukan penutup untuk Norhayati dan keluarganya, tetapi satu permulaan baharu dalam kes Amri untuk pihak berkuasa bertindak.
Dalam siasatan itu, panel diberitahu bahawa pegawai Cawangan Khas dari Perlis memberitahu Norhayati bahawa Bukit Aman terbabit dalam penculikan Amri dan Koh.
Bagaimanapun, pegawai Shamzaini Mohd Daud kemudian memberitahu siasatan awam itu bahawa keterangan Norhayati adalah palsu.

Norhayati berkata mereka sudah tahu ada pembabitan polis sejak awal kerana siasatan lewat dijalankan ketika kali pertama melaporkan tentang kehilangan suaminya.
“Mereka tidak cari Amri betul-betul walaupun dengar yang Cawangan khas terbabit (keterangan Shamzaini).
“Ini bukti sejak hari dia hilang hinggalah Suhakam mendedahkan keputusannya.” Mengharap keajaiban
Guru sekolah rendah berusia 46 tahun yang juga ibu kepada empat anak itu kini mengharapkan keajaiban untuk suaminya ditemui.
“Kami masih tidak tahu apa yang berlaku padanya. Saya serahkan pada Tuhan dan tidak mahu memikirkan perkara buruk yang mungkin terjadi padanya.
“Siapalah yang sanggup buat begitu pada Amri dan Koh? Buat mereka hilang seperti itu.” Beliau berkata empat anak perempuan mereka berusia 12, 17, 19 dan 21 merindui bapa mereka.
“Kami akan hanya dapat penutup bila Amri ditemui dan mereka yang terbabit dalam kehilangannya secara paksa ini dibawa ke muka pengadilan, tidak kira siapa mereka,” katanya.
Siasatan awam itu ditubuhkan untuk memastikan sama ada Amri, Koh dan dua yang lain – Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth – adalah mangsa hilang paksa.
Mengikut undang-undang hak asas manusia antarabangsa, hilang paksa berlaku apabila seseorang individu diculik atau dikurung secara rahsia oleh ejen kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga untuk ejen kerajaan, disokong atau persetujuan ejen kerajaan atau organisasi politik. – 13 April, 2019.
Komen