EKORAN timbul kontroversi berkenaan program ceramah Dr Zakir Naik di sebuah universiti awam minggu depan, pihak penganjur mengambil beberapa langkah keselamatan supaya acara itu nanti bebas daripada sebarang kejadian tidak diingini.
Ceramah bertajuk “Duty of a Muslim as a Professional (Peranan Muslim sebagai profesional)” di Dewan Muadzam Shah Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 18 April ini terbuka kepada orang ramai dan dijangka akan menarik 3,000 hingga 7,000 hadirin.
Pengarah program, Muhamad Imran Osman Mydin memberitahu The Malaysian Insight penganjur meminta bantuan daripada pihak polis bagi memastikan program tersebut berjalan dengan lancar.
“Kami sudah menulis surat kepada IPD Kubang Pasu untuk kawalan keselamatan,” kata Imran.
Beliau berkata program ceramah adalah kerjasama antara Kelab Perkim UUM dengan pertubuhan dari Perlis, One Stop Centre, yang akan menguruskan ketibaan Zakir.
“Beliau terkenal dengan membandingkan agama dalam ceramah. Kami menetapkan skop ceramahnya supaya hanya berdasarkan topik yang dipilih. Kami memilih topik yang selamat.”
“Sebagai penganjur, ini adalah tanggungjawab kami dan kami tak mahu timbul sebarang isu kelak,” katanya.
Imran juga menegaskan bahawa topik yang dipilih adalah relevan kerana pelajar universiti akan melangkah ke alam pekerjaan selepas tamat pengajian.
Mengenai mengapa Zakir menjadi pilihan sedangkan ramai lagi pendakwah di Malaysia yang berkelayakan, Imran berkata pendakwah berasal dari India itu mempunyai pengetahuan luar biasa mengenai topik agama dan kerohanian.
“Beliau pendakwah terkenal di serata dunia.”
Walaupun menyedari kontroversi yang terpalit pada Zakir, pelajar tahun dua pengajian perakaunan itu berkata semua tuduhan ke atas pendakwah itu masih belum dibuktikan.
Zakir dikehendaki di India atas dakwaan pengubahan wang haram, menghasut kebencian dan menyokong keganasan.
“Kes-kes itu masih disiasat. Belum dibuktikan bersalah,” kata Imran. – 13 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen