JANGAN buat sebarang spekulasi berhubung kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sebaliknya tunggu keputusan siasatan pihak berkuasa, kata Jamil Khir Baharom.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai menolak tanggapan kebakaran awal pagi semalam berpunca dari perbuatan khianat.
“Kita serahkan dahulu pada forensik untuk selidik bangunan. Hari ini kita jangan pergi spekulasi dulu.
“Kita selesaikan urusan fakta di hadapan. Itu spekulasi sahaja, biar bomba ,forensik dan polis jalankan tugas dan dapat semua daripada rumusan forensik hari ini,” katanya kepada media di perkarangan premis pusat tahfiz itu hari ini.
Jamil memberi reaksi terhadap kenyataan bomba yang tidak menolak kemungkinan punca kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa semalam sebagai perbuatan khianat.
Sementara itu, Jamil Khir berkata pihaknya sudah mewujudkan kumpulan khas bagi memastikan urusan pengkebumian berjalan lancar.
Semua jenazah akan dikebumikan secepat mungkin selepas mendapat keputusan DNA daripada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Semua kawasan perkuburan telah bersiap sedia untuk menerima jenazah.
“Apabila keluar keputusan kita akan uruskan semua jenazah hari ini. Kita sudah wujudkan enam kumpulan untuk menguruskan,” katanya yang menjangkakan keputusan DNA akan diperolehi petang ini.
11 jenazah akan dikebumikan dibawah satu liang lahad dan selebihnya dibawa pulang ke kampung masing-masing. – 15 September, 2017.
Komen