Mat Hasan yakin menang PRK Rantau esok


SM Amin

Mohamad Hasan juga sangat berpuas hati dengan kempen jentera Barisan Nasional yang telah bekerja keras sejak dua minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 April, 2019.

CALON Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan yakin akan memenangi semula kerusi DUN Rantau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung esok. 

Timbalan presiden Umno itu berkata beliau juga sangat berpuas hati dengan kempen jentera BN yang telah bekerja keras sejak dua minggu lalu. 

Kemenangan itu lebih utama berbanding jumlah majoriti undi, katanya lagi ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat hajat di bilik operasi BN DUN Rantau.

“Saya yakin bahawa pengundi-pengundi dapat dikeluarkan seramai mungkin esok dan memberikan kemenangan kepada pihak Barisan Nasional. 

“Janji menang cukuplah. Menang 10-0 dengan menang 1-0 sama sahaja dapat tiga mata,” katanya yang juga bekas pemain sebuah kelab bola sepak Negeri Sembilan.

Badan kajian Ilham Centre juga semalam menjangka Mohamad akan memenangi semula kerusi tersebut.

Seramai 20,793 orang daripada 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi esok dan daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang telah mengundi secara pos.

Mohamad ditentang calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram dan dua calon Bebas – suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengekalkan kemenangannya di DUN Rantau.

Ia bagi mencabar keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 di kerusi tersebut terbatal dan tidak sah. – 12 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen