AGENSI meteorologi Indonesia mengeluarkan amaran tsunami hari ini selepas gempa kuat magnitud 6.9 melanda Morowali, di Sulawesi tengah pada kira-kira 7.40 malam hari ini.
“Gempa itu berpotensi mencetuskan tsunami,” kata jurucakap Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika, Harry Tirto seperti dipetik dalam laporan Jakarta Post.
Agensi itu menasihati warganya supaya berwaspada dengan gelombang susulan yang dijangka lebih kuat dari gelombang awal.
Pusat gempa itu pada kedudukan 85 kilometer di barat daya Kepulauan Banggai di Sulawesi Tengah.
Pemimpin agensi bencana Indonesia, Stupo Purwo Nugroho seterusnya mengumumkan amaran itu dibatalkan malam ini.
Beliau turut memaparkan video di Twitter pada kira-kira jam 10 malam menunjukkan keadaan pantai di perairan Luwuk Kab Banggai di Sulawesi Timur dalam keadaan “aman dan normal”.
“Tidak ada tsunami. Mohon masyarakat tetap tenang dan waspada. Jangan percaya dengan informasi yang menyesatkan,” katanya.
Lebih 3,000 orang maut dan 200,000 hilang tempat tinggal selepas gempa dan tsunami melanda Palu, juga di Sulawesi tengah pada tahun lalu. – 12 April, 2019.
Komen