EMPAT ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), termasuk Menteri Pendidikan Maszlee Malik tidak hadir semasa undian pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, dedah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong.
Liew berkata selain ahli Simpang Renggam itu, Timbalan Menteri Industri Utama Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya), Noor Amin Ahmad (Kangar) dan Muslimin Yahaya (Sungai Besar) juga tidak hadir ketika undian penting yang dijalankan pada Selasa.
“Dua orang memohon untuk hadir mesyuarat di luar negara,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
“Dua lagi, saya serahkan kepada whip parti.”
Beliau menambah, ahli-ahli Parlimen dikehendaki hadir di Parlimen pada tarikh undian penting dijalankan kerana mereka tertakluk di bawah arahan whip atas arahan perdana menteri.
PH gagal meluluskan pindaan tersebut pada bacaan kedua selepas n memperolehi hanya 138 undi, iaitu kurang 10 undi. Dewan Rakyat memerlukan 148 undi untuk melepasi majoriti dua pertiga undi supaya pindaan diluluskan.
Selain empat ahli Parlimen PH tersebut, seramai 20 ahli Parlimen termasuk bekas perdana menteri Najib Razak tidak hadir ketika undian dijalankan. – 12 April, 2019.
Komen