Tiada usul pindaan Perlembagaan dalam masa terdekat, kata menteri


Bede Hong

Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Liew Vui Keong berkata Putrajaya ingin memastikan terlebih dahulu pindaan mengembalikan status setara Sabah dan Sarawak mendapat sokongan ahli Parlimen GPS sebelum usul dibentangkan sekali lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 April, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) tidak akan meneruskan rang undang-undang (RUU) lain untuk meminda Perlembagaan bagi mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sehingga ahli Parlimen Sarawak mengemukakan ikrar bertulis untuk menyokong RUU akan datang, kata Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Liew Vui Keong.

Liew berkata inisiatif akan datang untuk meminda Perlembagaan, yang memerlukan sokongan dua pertiga daripada 222 wakil rakyat di Dewan Rakyat, mungkin tergesa-gesa selepas undian pada Selasa lalu berhubung Perkara 1 (2) Perlembagaan.

“Ia hanya menunjukkan satu perkara, kita mesti mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan untuk memudahkannya,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Liew bercakap mengenai kegagalan percubaan PH dan sekutunya meminda Perlembagaan bagi mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam persekutuan, dan bukannya hanya dua daripada 13 negeri susulan pindaan pada 1976.

RUU itu menerima 138 undi, kurang 10 undi bagi mendapatkan jumlah majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan.

Liew memberitahu wartawan bahawa untuk “mengatasi” halangan tersebut, PH hanya boleh bergantung kepada memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sebagai alternatif, saya mahu 59 ahli Parlimen, terutama 19 dari Sarawak, memberi ikrar bertulis yang mereka akan menyokong (kerajaan), jika ada peluang dalam pindaan berikutnya.”

Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan mengundi, bersama-sama dengan penggubal undang-undang PAS dan Umno. – 12 April, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen