16 maut bom meletup di pasar buah Pakistan


Keadaan pasar buah di bandar Quetta, Pakistan selepas bom meletup yang mengakibatkan 16 orang maut dan 30 lain cedera. – Gambar AFP, 12 April, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 16 orang terbunuh dan 30 cedera pada Jumaat disebabkan letupan kuat yang mensasarkan minoriti Syiah Hazara di pasar buah yang penuh sesak di bandar Quetta, Pakistan, kata pihak berkuasa.

Cebisan anggota badan bertaburan di tempat kejadian dan mereka yang cedera menjerit meminta bantuan ketika asap hitam menyelubungi pasar selepas letupan.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu, tetapi Balochistan - yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran - adalah wilayah terbesar dan paling miskin di Pakistan, yang kerap berlaku pemberontakan etnik dan puak pemisah.

Ketua Polis Daerah Mohsin Butt berkata lapan pengikut Hazara adalah antara 16 orang yang terkorban.

Pengikut Hazara dengan ciri Asia Tengah menjadikan mereka mudah dikenali, adalah sasaran mudah pihak militan Sunni, yang menganggap mereka menyeleweng.

Mereka sering menjadi sasaran dan terpaksa tinggal di dua kawasan perlindungan di bandar serta dikawal polis setiap hari untuk ke pasar bagi mendapatkan bekalan makanan.

Ketua Polis Butt berkata perkara yang sama berlaku pada hari ini.

Bom meletup berhampiran kawasan di mana bekalan makanan dimuatkan di dalam lori untuk diedarkan di pasar.

“Saya sedang memuatkan trak kecil dan mendengar bunyi kuat dan seolah-olah bumi di bawah saya bergoncang dan saya jatuh ke tanah,” kata Irfan Khan, seorang buruh, dari katil hospitalnya.

“Suasana dipenuhi asap hitam dan saya tidak dapat melihat apa-apa. Saya dapat mendengar orang menjerit meminta bantuan dan saya juga menjerit.”

Beliau berkata udara “dipenuhi bau busuk daging manusia yang terbakar”.

Pegawai polis kanan Abdul Razaq Cheema berkata letupan itu mensasarkan kawasan kejiranan Hazarganji Quetta.

Pengikut Hazara terdiri kira-kira 500,000 daripada 2.3 juta penduduk di bandar ini.

Amnesty International berkata letupan itu merupakan “peringatan yang menyakitkan” terhadap banyak serangan yang dialami oleh masyarakat Hazara di Quetta sejak bertahun-tahun, dan menggesa kerajaan Perdana Menteri Imran Khan memberikan perlindungan lebih baik kepada mereka.

“Setiap kali, terdapat janji bahawa lebih banyak akan dilakukan untuk melindungi mereka, dan setiap kali itu ia gagal menjadi kenyataan,” tulis Omar Waraich, wakil pengarah Amnesty untuk Asia Selatan.

Keganasan di Pakistan menurun dengan ketara sejak serangan militan paling dahsyat di negara itu, serangan di sebuah sekolah di bandar barat laut Peshawar pada 2014 yang membunuh lebih 150 orang, kebanyakannya kanak-kanak. – AFP, 12 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen