ORANG Pulau Pinang bangun di pagi yang basah hari ini selepas banjir kilat berlaku di beberapa kawasan negeri itu.
Antara kawasan yang dilanda banjir itu yang dikatakan berlaku antara jam 4 pagi hingga 9 pagi tadi adalah daerah timur laut negeri itu termasuklah bandar George Town, Jalan Masjid Negeri, Jalan P. Ramlee, Jalan Datuk Keramat, Jalan Perak, Jalan Kuantan, Bukit Gelugor, Bukit Gambir, Jalan Thean Teik, Jalan Lumba Kuda, dan Batu Ferringhi.
Di daerah barat daya pula, penduduk di beberapa kawasan di Relau, Bayan Baru, Teluk Bahang, Teluk Kumbar dan Bayan Lepas juga dilanda banjir kilat itu.
Di Seberang Perai pula, Mak Mandin, Bagan Dalam, Permatang Pauh, Taman Senangin, Bertam Indah, Jalan Ong Yi How, Raja Uda, Taman Cantik, Taman Siakap dan Jalan Bukit Tengah adalah antara kawasan yang terjejas dengan banjir.
Laporan Kejuruteraan Daerah Timur Laut Jabatan Perparitan dan Saliran Pulau Pinang mencatatkan 199mm turunan hujan di stesyen Sungai Pinang dan 120.5mm di stesyen Air Itam.
Laporan juga menunjukkan tahap air di Sungai Pinang (3.2m) dan Sungai Air Itam (7.57m) sudah mencecah tahap bahaya, menyebabkan air melimpah menyebabkan banjir sedalam 0.1m sehingga 0.6m di beberapa kawasan. Kedua-dua stesyen terletak di sungai utama daerah itu.
Tahap air laut pula antara 1.6m dan 2m ketika banjir kilat itu berlaku.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dalam laporan perkembangan kejadian kepada media mengatakan mereka sudah menerima panggilan kecemasan orang awam sejak awal pagi tadi.
Seawal jam 5 pagi, jabatan itu menerima panggilan untuk menyelamatkan dua mangsa banjir di Jln Permatang Pasir, Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau.
Mereka kemudiannya menyelamatkan lima pelajar di Lintang P.Ramlee, Jelutong pada jam 6.13 pagi dan seorang dewasa dan kanak-kanak di Medan Goh Guan Hoe, Jalan Lumba Kuda, Air Itam pada jam 6.53 pagi.
Dalam laporan awal misi menyelamat, jurucakap jabatan berkata anggota bomba juga memindahkan dua mangsa di Jalan Chin Yet Hong, Kampung Pantai Acheh, Balik Pulau; dua dewasa dan tiga kanak-kanak di Jalan Thean Teik 2, Air Itam dan seorang mangsa di Jalan Paya Terubong selepas menerima panggilan kecemasan antara jam 7.15 pagi hingga 8.40 pagi.
Jabatan turut melaporkan satu kejadian tanah runtuh berlaku di Medan Fettes, Tanjung Bungah awal pagi ini dan mereka dimaklumkan kejadian itu sekitar jam 7 pagi.
Tiada kecederaan dilaporkan tetapi kejadian itu menyebabkan tiga kereta tertimbus. Kereta itu yang kosong ketika kejadian sudah dialihkan.
Ramalan kaji cuaca Pulau Pinang hari ini menurut, AccuWeather.com adalah mendung berserta hujan dan ribut petir. – 15 September, 2017.
Komen