Kim Jong Un dipilih semula sebagai pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara


Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dipilih semula sebagai pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara, badan pembuat keputusan tertinggi Korea Utara dalam satu mesyuarat penting parlimen. – Gambar AFP, 12 April, 2019

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un dipilih semula sebagai pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara, badan pembuat keputusan tertinggi Korea Utara dalam satu mesyuarat penting parlimen, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik media rasmi pada Jumaat.

Perdana Menteri Korea Utara, Pak Pong Ju digantikan dengan Kim Jae-Ryong, seorang anggota kanan Parti Buruh Korea yang memerintah semasa sesi pertama Perhimpunan Rakyat Agung ke-14 pada Khamis, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

“Pemilihan Pemimpin Agung sebagai pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara Korea Utara merupakan peristiwa politik hebat yang penting dalam sejarah,” menurut KCNA.

Kim dipilih ke jawatan itu buat pertama kali pada Jun 2016 yang menyaksikan suruhanjaya berkenaan diwujudkan menerusi satu pindaan perlembagaan.

Sesi semalam menjadi tumpuan kerana ia akan menentukan barisan kepimpinan baharu Korea Utara.

Pada mesyuarat itu, Ketua Nominal Korea Utara Kim Yong Nam digantikan oleh Choe Ryong-Hae, Naib Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara.

Perunding nuklear terkemuka Korea Utara, Kim Yong Chol dan lain-lain yang terlibat dalam sidang kemuncak kedua pada Februari dengan Amerika Syarikat termasuk Menteri Luar, Ri Yong Ho dan Naib Menteri Luar, Choe Son Hui turut dipilih sebagai anggota Suruhanjaya Hal Ehwal Negara. – Bernama, 12 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen