Dalai Lama keluar hospital hari ini


Dalai Lama dibenarkan keluar dari hospital New Delhi hari ini, tiga hari selepas menerima rawatan kerana mengalami batuk ringan. – Gambar fail AFP, 12 April, 2019.

DALAI Lama dibenarkan keluar dari hospital New Delhi hari ini, tiga hari selepas menerima rawatan kerana mengalami batuk ringan, kata jurucakap peribadinya, Tenzin Taklha.

“Beliau dibenarkan keluar pada 8 pagi (waktu tempatan) dan dalam keadaan baik,” katanya.

Sami Buddha berusia 83 tahun yang juga ketua agama Tibet dan seteru China itu dimasukkan ke hospital Max di ibu negara India pada Selasa lalu.

Taklha berkata pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu kini kembali melakukan senaman dan rutin harian.

Beliau dijangka kembali ke kawasan pergunungan di utara India, Dharamsala selepas menetap di situ dalam buangan selama enam dekad bersama ribuan pengikutnya yang lain.

Dalai Lama meninggalkan ibu negara Tibet, Lhasa pada 1959 dan merentas banjaran sejuk Himalaya untuk ke India ketika berusia 23 dengan cara menyamar sebagai anggota tentera bagi mengelak dikesan pasukan keselamatan China yang mahu mematahkan kebangkitan Tibet. – AFP, 12 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen