PENGUNDI perlu memilih Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat mereka esok kerana Dun Rantau mempunyai majoriti orang Melayu Islam, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Katanya, langkah itu tidak akan mengetepikan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu kerana agama itu memerintahkan penganutnya supaya adil kepada semua kaum.
“Mesti faham makna mengundi itu. Kewajipan memilih pemimpin yang mewakili kawasan ini.
“Di sini kita belajar mengapa kita pilih Mat Hasan. Dia Melayu-Islam. Bukan mengenepikan India, Cina dan lain-lain tetapi kerana dominasi kawasan ini ialah Melayu Islam,” katanya.
Dalam ucapan sewaktu sepentas dengan Mohamad pada malam tadi, Hadi berkata pengundi juga perlu menerima kontrak sosial bagi mengelak perkelahian antara kaum.
Menurutnya, setiap kaum juga perlu menginsafi bahawa mereka dijadikan hamba sewaktu penjajahan British dahulu.
“Bila British letak masyarakat majmuk di sini. British letak India di estet dan Cina di lombong. British jadikan kita hamba termasuk orang Melayu. Kita kena sedar, jangan berkelahi,” katanya.
Hadi menyeru demikian itu dalam ceramah di Taman Angsamas malam tadi – penampilan sulungnya untuk membantu BN dalam kempen PRK Rantau.
Seruan itu bagi menidakkan peluang Pakatan Harapan (PH), yang mempertaruhkan calon keturunan India, Dr S Streram di kawasan dengan majoriti pengundi Melayu (53%).
Pengundi India membentuk 27% serta Cina 19% dalam kawasan meliputi 14 pusat daerah mengundi.
Pada masa sama, Hadi turut menyelar PH yang didakwanya tidak mampu mentadbir negara dengan baik dan sering menyalahkan kerajaan lama untuk menutup kelemahan sendiri.
“Kita kena tolak pemerintahan PH yang tidak boleh menjaga kepentingan orang Melayu Islam, tidak boleh jaga Tabung Haji. Asyik menyalahkan orang dulu,” katanya.
Dua daripada tujuh PRK yang diadakan selepas PRU14 memberi kemenangan kepada BN apabila parti itu mengubah strategi untuk bekerjasama dengan PAS.
Dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, BN mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih 3,200 undi dan seterusnya merampas semula kerusi DUN Semenyih dengan majoriti lebih 1,900 undi.
Firma kajian Ilham Centre semalam menjangka Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan akan memenangi kerusi Rantau sekali lagi.
Dua lagi calon Bebas yang turut bertanding adalah R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. – 12 April, 2019.
Komen