ANAK lelaki seorang pegawai polis kulit putih di Louisiana ditahan dan didakwa membakar gereja bersejarah kulit hitam di negeri selatan AS itu, lapor pihak berkuasa pada Khamis.
Holden Matthews didakwa dengan tiga pertuduhan membakar dengan sengaja bangunan agama bersejarah di pendalaman Louisiana dalam tempoh 10 hari hujung Mac lalu.
Setiap pertuduhan membawa hukuman maksimum 15 tahun dalam penjara.
Pihak berkuasa berkata mereka belum bersedia membincangkan motif serangan, tetapi siasatan jenayah kebencian sedang berjalan.
“Saya tak tahu apa motif lelaki muda ini…tetapi yang saya boleh kata ia tidak boleh dijustifikasikan atau dirasionalkan. Ia tindakan jahat,” kata Gabenor Louisiana John Bel Edwards dalam satu sidang media.
“Ia sangat menyakitkan kerana mengingatkan kita pada zaman silam yang menakutkan dan penuh ketakutan.”
Lelaki berusia 21 tahun itu didakwa mempunyai kaitan dengan pergerakan muzik “black metal” yang memperomosi pembakaran gereja, kata pihak berkuasa.
Dalam kes yang serius, mereka dikaitkan dengan muzik genre itu terdedah kepada ideologi pelampau kulit putih, menurut The Daily Beast dan kumpulan anti kebencian ADL.
Sherif di St Landry Parish, kawasan serangan gereja berlaku berkata suspek adalah anak lelaki kepada timbalannya, Roy Matthews.
“Dia tidak tahu tentang aktiviti anaknya,” kata Sheriff Bobby Guidroz, menambah yang timbalannya “menangis teruk” selepas dimaklumkan.
“Dia terkejut dan disakiti, seperti mana-mana ayah akan rasa,” kata Guidroz.
Serangan kebakaran itu mensasarkan tiga gereja bersejarah kulit hitam- St Mary Baptist di Port Barre, Mt Pleasant Baptist di Hammond dan Greater Union Baptist di Opelousas. – AFP, 12 April, 2019.
Komen