Rasis kepada Salah, Chelsea haramkan 3 penyokong


Chelsea mengambil tindakan keras mengharamkan tiga penyokongnya, selepas Disember lalu mengharamkan empat penyokongnya kerana kelakuan perkauman mereka. – Gambar AFP, 12 April, 2019.

CHELSEA mengecam “kelakuan diskriminasi menjijikkan” selepas dilaporkan menghalang tiga orang penyokongnya daripada menghadiri pertandingan pertama suku akhir Liga Eropah di Slavia, Prague semalam.

Pasukan keselamatan Liga Perdana Inggeris itu mengenalpasti penyokong tersebut menerusi sebuah video di Twitter menunjukkan mereka menyanyikan lagu menghina ditujukan kepada bekas pemain Chelsea, Mohamed Salah, yang kini bersama Liverpool, lapor media British.

“Chelsea FC mengecam sebarang bentuk kelakuan diskriminasi menjijikkan dan sekiranya ada bukti jelas yang pemegang tiket bermusim Chelsea atau ahlinya terlibat dalam kelakuan sebegitu, kami akan mengambil tindakan paling tegas ke atas mereka,” kata Chelsea dalam satu kenyataan.

“Individu tersebut memalukan majoriti penyokong Chelsea yang tidak akan bertolak ansur ke atas mereka untuk terus berada dalam kelab.”

Sebelum ini, empat penyokong Chelsea digantung oleh kelab itu selepas pemain Manchester City Raheem Sterling menerima kecaman perkauman di Stamford Bridge pada Disember lalu.

Pengurus Maurizio Sarri menyokong pendirian tegas kelab selepas pasukannya menang 1-0 pada pusingan pertama separuh akhir di Prague.

“Saya tak mahu bercakap tentangnya kerana saya tak tengok video itu,” katanya.

“Ya, saya rasa betul (keputusan kelab), tetapi awak kena tanya kelab. Ia keputusan tegas dan saya rasa ia betul.”

Liverpool berterima kasih kepada Chelsea kerana tindakan pantas mereka terhadap video itu, dan dalam satu kenyataan berkata mereka sedang bekerjasama dengan Merseyside Police untuk cuba mengenalpasti penyokong tersebut. – AFP, 12 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen