Nepal hantar pasukan bersih Gunung Everest 


NEPAL akan menghantar satu pasukan ke Gunung Everest pada musim mendaki kali ini untuk mengutip sampah dan mengeluarkan mayat yang mencemarkan puncak tertinggi dunia itu, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Sejak berdekad lalu, pendakian secara komersil menjadikan gunung berkenaan tempat pembuangan sampah tertinggi di dunia berikutan peningkatan jumlah pendaki yang tidak peka terhadap kebersihan di puncak berkenaan.

Khemah pendarflour, peralatan mendaki rosak, kanister gas kosong malah najis manusia mencemari laluan ke puncak berketinggian 8,848 meter (29,029 kaki) itu.

“Kami selalu berbangga dengan Gunung Everest tetap kami sering dituduh tidak mampu membersihkannya. Kini kami bersama-sama membersihkan gunung ii,” kata ketua jabatan pelancongan Nepal, Dandu Raj Ghimire.

Kerajaan telah bekerjasama dengan persatuan mendaki, tentera dan organisasi tempatan untuk mengkoordinasikan usaha pembersihan berkenaan.

Sepasukan 14 pendaki akan dihantar ke kem Everest bermula 25 April dan menyasarkan untuk membawa turun 10,000 kilogram sampah.

Lapan ahli kemudiannya akan naik ke Kem 2 yang terletak pada ketinggian 6,400 meter dan pasukan  ketiga akan bergilir naik ke Kem 4 di ketinggian 7,950 meter.

Mereka akan menghabiskan masa 15 hari untuk mengutip sampah di kawasan lereng bersalji.

Pendaki dan pekerja altitud tinggi akan diberi insentif untuk membawa turun sampah ke kem dan yang sampah kitar semula akan diterbangkan ke ibu negara.

“Ini merupakan kali pertama kerajaan mengambil inisiatif untuk membersihkan gunung ini..namun ia tidak boeh dilakukan dalam masa setahun sahaja. Kami perlu teruskan usaha ini, kata Santa Bir Sherpa dari Persatuan Pendaki Nepal. – AFP, 11 April, 2019


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen