KEDUDUKAN kepimpinan Umno mahupun parti itu sendiri tidak akan terjejas walau apa pun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang bertanding mempertahankan kerusinya Sabtu ini.
Mohamad yang kini menjalankan tugas presiden selepas Ahmad Zahid Hamidi memutuskan bercuti berkata, kalah atau menang pilihan raya tidak boleh dijadikan semata-mata ukuran jatuh bangun politik pemimpin atau parti.
“Tiada apa-apa implikasi kepada parti jika keputusan negatif. Banyak juga pemimpin-pemimpin termasuk Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah kalah di kawasan dia. Hari ini dia dua kali jadi perdana menteri,” katanya dalam temuramahnya bersama The Malaysian Insight.
Dr Mahathir kalah pilihan raya umum pada 1969.
Bagi bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, sebagai anak tempatan, beliau perlu mempertahankan kampungnya dari dirampas oleh calon Pakatan Harapan Dr. S Streram dan dua calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin.
Dalam kalangan pemimpin dan penganalisis politik, Mohamad pemimpin yang sedang muncul dalam politik nasional, antara harapan terakhir untuk menyelamatkan Umno selepas parti itu kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Berbeza dengan Ahmad Zahid yang sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan kes pecah amanah, jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram di mahkamah, Mohamad dilihat pemimpin yang bersih selain mempunyai prestasi cemerlang di Negeri Sembilan selama jadi menteri besar antara 2004 hingga 2018.
Setakat ini, tiga badan kaji selidik meramalkan Mohamad akan menang atas pelbagai faktor antaranya rasa tidak puas hati rakyat terhadap Pakatan Harapan yang semakin tinggi sejak parti itu mentadbir negara 10 bulan yang lalu.
Tidak mahu memikirkan soal jawatan, Mohamad menegaskan fokus beliau hanya kepada dua perkara iaitu mengukuhkan semula Umno dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU15.
Berikut temuramah The Malaysian Insight bersama Mohamad, baru-baru ini.
S: Pimpinan dan jentera Barisan Nasional menyifatkan PRK Rantau ini sangat penting kerana ditandingi oleh Timbalan Presiden. Bagi Datuk Seri sendiri apa erti PRK Rantau ini?
Rantau ini kawasan saya. Saya telah diisytiharkan menang tanpa bertanding tempoh hari tetapi dibatalkan. Jadi bila ada PRK, saya perlu pertahankan kawasan saya.
Tiada apa-apa implikasi kepada parti jika keputusan negatif. Banyak juga pemimpin-pemimpin termasuk Dr. Mahathir sendiri pernah kalah di kawasan dia. Hari ini dia dua kali jadi perdana menteri. Tidak timbul impaknya besar kepada parti.
S: Dalam keadaan BN kehilangan negeri yang diterajui oleh Datuk Seri sendiri dan juga kerajaan persekutuan, apa yang memberi motivasi kepada Datuk Seri untuk terus berpolitik?
Bila kita kalah kita lagi bersemangat untuk bangkit semula. Dahulu semula rileks sahaja, bila sudah kalah, masing-masing akar umbi kena bangkit untuk kita bangun semula memperbetulkan dan memperkasakan parti. Agenda saya adalah untuk memperkasakan parti dan menyusun strategi menang PRU15.
Tiada perasaan sakit hati cuma saya nampak tidak ada orang yang hendak bertanding timbalan presiden. Selepas Hishammuddin Hussein buat kenyataan tidak mahu bertanding, jadi saya letak namalah.
S: Apa yang cuba disampaikan dalam mesej “Bersama BN” dalam poster kempen PRK Rantau ini?
Dalam PRU14 kita kalah. Majoriti rakyat tidak lagi menyokong BN. Jadi sekarang ini kita menyeru kepada rakyat bersama BN, kita bangkit semula, bangunkan semula negara ini daripada kita terus bersugul tidak berbuat apa-apa.

Selepas beberapa bulan kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara, banyak janji yang sepatutnya 100 hari ditunaikan mereka tidak buat. Rakyat sudah mula sedar ini semua adalah penipuan. Janji dengan menipu rakyat semata-mata untuk mendapatkan kuasa, menumbangkan BN.
Bermula dari PRK Cameron Highlands dan kemudian di Semenyih, rakyat sedar dan mula bangkit. Mereka telah menghantar satu isyarat bantahan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang ternyata menipu rakyat hidup-hidup.
S: Separuh kempen sudah berlalu. Bagaimana Datuk Seri melihat penerimaan rakyat, peluang dan harapan Datuk Seri dalam minggu akhir kempen ini?
Walau apa juga berita-berita yang mengatakan saya mendapat sokongan semua, itu tidak boleh dijadikan sebagai pengukur. Kita mesti terus bekerja, perkasakan gerak kerja kita untuk kita pastikan supaya kita dapat berjumpa seramai mungkin pengundi dan menyakinkan pengundi untuk keluar mengundi pada 13 haribulan dan menyokong Barisan Nasional.
S: Apa tumpuan dan perancangan Datuk Seri selepas PRK ini?
Saya akan terus memberikan khidmat kepada rakyat dan memeriksa dasar-dasar awam yang dibuat oleh Pakatan Harapan supaya yang pentingnya rakyat akan mendapat faedah daripada dasar-dasar tersebut.
Tidak guna ada kerajaan tetapi tidak berbuat apa-apa, akhirnya rakyat semakin tertekan, hidup semakin menderita dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Pendapatan rakyat juga yang semakin berkurangan kerana harga komoditi asas kita jatuh, Tabung Haji mengurangkan dividen, Felcra rugi tidak dapat dividen. Rantau ini kawasan luar bandar.
Rakyat tertekan daripada dua sudut, harga barang meningkat dan pendapatan pula makin berkurangan. Jadi ini perlu dilihat dan dipastikan supaya rakyat akan terus mendapat pembelaan.
Saya harap kerajaan Negeri Sembilan buat dasar-dasar yang boleh membela rakyat kerana saya sudah buat dahulu Dasar Jaringan Keselamatan Sosial semasa kerajaan Barisan Nasional tetapi tidak disambung nampaknya. – 12 April,, 2019.
Komen