Masukkan wanita dalam perbincangan Afghanistan, kata Angelina Jolie


Pelakon Amerika Syarikat yang juga wakil khas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie meminta wanita memainkan peranan penting dalam perbicaraan damai di Afghanistan. – Gambar EPA, 11 April, 2019.

PELAKON Amerika Syarikat yang juga wakil khas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie meminta wanita memainkan peranan penting dalam perbicaraan damai di Afghanistan.

Beliau turut memberi amaran bahawa pengecualian mereka akan menghalang kemungkinan kestabilan yang berkekalan.

Perunding wanita mesti terlibat dalam perbincangan dengan Taliban yang merupakan pelampau Islam yang berkuasa pada 1990-an dan menghancurkan hak wanita, kata Jolie dalam satu ruangan pendapat yang diterbitkan dalam majalah TIME, semalam.

“Wanita Afghanistan mesti mampu bercakap untuk diri mereka sendiri.

“Ia termasuk perunding wanita dalam jumlah besar sebagai sebahagian daripada delegasi kerajaan Afghanistan dan memastikan penyertaan formal untuk kumpulan wanita mewakili masyarakat sivil,” tulisnya.

AS telah mengadakan beberapa rundingan dengan Taliban dalam usaha mengakhiri perang melawan pemberontak yang bermula pada akhir 2001.

Secara berasingan, ahli politik Afghanistan juga sudah bertemu dengan Taliban di Moscow.  

Perbincangan setakat ini berdepan kritikan sengit kerana kekurangan penyertaan wanita dan pertemuan di antara delegasi Kabul serta pegawai Taliban yang dijangka berlangsung di Qatar bulan ini dilaporkan hanya mempunyai dua wanita dalam satu pasukan terdiri daripada 22 perunding. 

“Wanita sepatutnya mempunyai peranan kepimpinan dalam pembangunan dan pelaksanaan sebarang perjanjian akan dirujuk di semua aspek masa depan negara – bukan hanya isu wanita sahaja,” kata Jolie sambil menambah bahawa AS harus menggunakan kuasanya untuk melindungi suara wanita.

Apabila Taliban memerintah Afganistan pada akhir 1990-an, mereka mengharamkan pendidikan perempuan, memaksa wanita untuk tinggal di rumah dan melaksanakan hukuman wanita terhadap wanita.

Sejak pencerobohan yang diterajui AS pada 2001, hak-hak wanita sudah bertambah baik di banyak wilayah Afghanistan dan wanita kini berada dalam kedudukan autoriti.

Tetapi budaya Afghanistan tetap terasing dan wanita takut kebebasan yang diperoleh lenyap dalam kesepakatan damai.

“Tidak akan ada kestabilan jika perjanjian damai berlaku di era baharu ketidakadilan dan penindasan terhadap wanita,” kata Jolie.

Pelakon yang memenangi Oscar ini pada bulan lalu membahas badan antarabangsa itu di ibu pejabatnya di New York dan meminta diplomat memastikan wanita dimasukkan dalam perbincangan Afghanistan. – AFP, 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen