6 wilayah Jawa Tengah berdepan masalah logistik menjelang pilihan raya Indonesia 


Pegawai pilihan raya Indonesia menjalankan simulasi proses membuang undi di sebuah pusat mengundi di Jakarta.– Gambar EPA, 11 April, 2019 

SEBANYAK enam wilayah di Jawa Tengah Indonesia masih belum bersedia sepenuhnya dari aspek logistik, menjelang pilihan raya umum negara itu yang dijadual pada 17 April, kata ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Jawa Tengah (KPUD), Yulianto Sudrajat lapor agensi berita Vietnam.

Beliau berkata wilayah terbabit ialah Pati, Klaten, Sukoharjo, Grobogan, Sragen dan Wonogiri dan KPUD akan memastikan masalah itu diselesaikan dalam waktu terdekat.

Katanya, pilihan raya kali ini membabitkan seramai 115,000 petugas manakala hampir 22,000 pegawai polis Jawa Tengah ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan proses pengundian berjalan lancar.

Gabernor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo sebelum ini menggesa suruhanjaya dan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) memaklumkan kepada orang ramai mengenai peraturan baharu pilihan raya sebagaimana diputuskan oleh mahkamah bulan lalu.

Di bawah peraturan baharu itu, pengundi boleh menyemak maklumat peribadi mereka dan membuat kemaskini sehingga tujuh hari sebelum pilihan raya.

Mereka yang tidak memiliki kad pengenalan elektronik juga boleh mengundi dengan menggunakan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi pendaftaran.

Isu teknikal menjadi cabaran dalam mengadakan pilihan raya di Indonesia, kerana setiap pengundi akan mengundi sebanyak lima kertas undi dengan warna berbeza.

Lebih 5.6 juta kakitangan diperlukan bagi menguruskan kira-kira 809,500 pusat mengundi dalam dan di luar negara.

Ribuan petugas di pusat mengundi masih belum menerima latihan teknikal disebabkan peruntukan yang terhad, walaupun kesilapan kecil boleh menjejaskan keputusan pilihan raya. – Bernama, 11 April, 2019 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen