Parti pemerintah pilih MB, sultan hanya melantik, kata pakar perlembagaan


Ragananthini Vethasalam Bede Hong

Sultan tidak mempunyai hak untuk memilih menteri besar dan hanya berperanan melantik calon yang dinamakan, kata pakar perlembagaan Gurdial Singh Nijar. - Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April 2019.

KENYATAAN Dr Mahathir Mohamad bahawa hanya parti pemerintah memutuskan siapa yang akan menjadi menteri besar adalah tepat, kata pakar perlembagaan.

Sultan pula hanya berperanan melantik calon yang dinamakan, kata bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya Prof Gurdial Singh Nijar.

Di bawah Perkara 4(2)(a) Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri Johor, Sultan Johor hendaklah melantik  seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang pada pendapat baginda Adun itu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan, katanya.

 “Orang itu mesti mendapat sokongan majoriti. sultan tidak mempunyai budi bicara mutlak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, Perlembagaan Johor secara jelas menyatakan menteri besar tidak memegang jawatannya dengan perkenan sultan dan sultan juga tidak boleh memecat MB.

Gurdial berkata, dalam krisis menteri besar Perak pada 2009 yang melibatkan Mohammad Nizar Jamaluddin dan Zambry Abdul Kadir, mahkamah persekutuan memutuskan apabila menteri besar hilang sokongan majoriti ahli Dewan, maka sultan bebas melantik seorang penyandang bagi jawatan itu.

“Dalam kes Nizar, mahkamah persekutuan mengiktiraf hak sultan untuk mengisytiharkan kekosongan jawatan menteri besar walaupun tanpa undi di Dewan.

“Tetapi ini mesti dibaca dalam konteks yang mana sultan sudah memastikan menteri besar sedia ada secara numerik kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan,” katanya.  – 11 April, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen