Putrajaya memang nak hukum Najib, kata pembangkang 


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Najib Razak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan disiplin berhubung posting Kertas Putih Felda di Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2019

KERAJAAN memang berniat untuk menggantung Ahli Parlimen Pekan Najib Razak, kata Ismail Sabri.

“Semalam, mereka berikan usul yang mencadangkan untuk menggantung ahli Parlimen Pekan selama tiga bulan tetapi pagi ini mereka gantikan dengan satu usul untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” kata ketua pembangkang itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Najib sudah pasti akan digantung kerana Pakatan Harapan mempunyai majoriti dalam Parlimen, tambahnya.

“Usul untuk rujuk Najib kepada jawatankuasa itu hanya untuk menampakkan kerajaan kurang kejam,” katanya yang juga ahli Parlimen Bera.

Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan disiplin berhubung posting Kertas Putih Felda tersebut berkaitan pembelian 37% pegangan Eagle High Plantation di Indonesia oleh Felda di Facebook pada petang Selasa sebelum ia dibentangkan pada pagi berikutnya.

Selepas perbahasan selama dua jam, 86 Ahli Parlimen mengundi untuk merujuk Najib kepada jawatankuasa berkenaan sementara 33 mengundi untuk menolaknya.

Ketika perbahasan, pembangkang mendakwa Kertas Putih berkenaan tidak boleh dikenakan embargo kerana ia sudah “dimuat naik” di laman web Parlimen sehari sebelum itu.

“Lagipun, Bloomberg juga sudah menulis artikel yang mengandungi butiran Kertas Putih berkenaan,” kata Ismail.

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan berkata, masa pada salinan Kertas Putih itu menunjukkan ia dimuat naik pada malam Selasa.

Pembangkang bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa posting Najib di Facebook datang daripada paparan skrin laporan sebenar dan bukan salinan digital. – 11 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen