PILIHAN raya umum India bermula hari ini (Khamis), menyaksikan 900 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka, lapor agensi berita Xinhua.
Lebih sejuta pusat pengundian dibuka di seluruh negara dan akan dijalankan dalam tujuh peringkat yang berlangsung selama 39 hari.
Peringkat pertama pengundian melibatkan 91 kawasan parlimen dengan 1,270 calon bertanding.
Ia membabitkan lebih 142 juta pengundi, termasuk 72 juta pengundi lelaki, 70 juta pengundi wanita.
Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya India, lebih 170,000 pusat mengundi untuk pengundian peringkat pertama dibuka.
India mempunyai sejumlah 2,354 parti politik berdaftar.
Sebagai langkah keselamatan, anggota polis, tentera dan separa tentera telah ditempatkan di semua kawasan parlimen bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar. – Bernama, 11 April, 2019.
Komen