SEORANG sejarawan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang berusaha memperbetulkan salah faham tentang sejarah Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam buku teks sekolah, bermula dengan satu hakikat yang selalu dilepas pandang bahawa dua negeri di Borneo itu sudah diberi hak untuk memerintah sendiri sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.
Profesor Madya Dr Bilcher Bala berkata sebahagian besar sejarah Malaysia Timur tercicir daripada buku teks sekolah biarpun sudah melalui empat kali semakan pada 1990, 1998, 2002 dan 2003.
Sebagai salah seorang ahli panel Kementerian Pendidikan yang menyemak sukatan pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), beliau diberi amanah untuk menilai semula buku teks baru bagi tingkatan satu hingga tingkatan lima sehingga kontraknya berakhir pada 2022.
“Hanya tiga muka surat diperuntukkan bagi sejarah politik di Sabah dan Sarawak pada bab 4, yang panjangnya 19 halaman, dalam buku tingkatan lima,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Dan walaupun Malaysia Timur tidak menyertai Malaya merdeka pada 1957, bab 5 dalam buku tingkatan tiga menggunakan tajuk ‘Kemerdekaan Nasional 31 Ogos 1957’
“Ia juga mencicirkan bagaimana Sabah dan Sarawak mendapat status pemerintahan sendiri pada 1963,” tambahnya.
Sabah ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara mendapat status pemerintahan sendiri daripada kerajaan Tanah Jajahan pada 31 Ogos, 1963, sebelum ia membentuk Malaysia bersama Sarawak, Malaya dan Singapura.
Ketika itu Sarawak yang juga merupakan Tanah Jajahan, diberikan taraf pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963. Tarikh itu kini disambut sebagai Hari Sarawak.
Menurut Bilcher, pemimpin Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia pada 16 September, 1963.
Namun fakta ini tidak ternampak dalam buku teks sekolah sehingga memberikan gambaran kelahiran Malaysia diusahakan oleh pemimpin Malaya semata-mata.
“Ini seolah-olah memperkecilkan peranan yang dimainkan oleh pemimpin dari Sabah dan Sarawak, serta Singapura, dalam usaha pembentukan Malaysia.
“Tanpa restu ketiga-tiga wilayah ini, Malaysia tidak akan jadi realiti pada 16 September 1963.”
Menurut Bilcher, sejarah 17 tahun Sabah di bawah British tidak dimasukkan dalam buku teks sejarah di sekolah sedangkan tempoh ini penting kerana pentadbiran British membantu membawa pembangunan ke Sabah.

Butir-butir bagaimana pelbagai agama tiba dan berkembang di kedua-dua negeri di Borneo itu tidak terkandung dalam buku sehingga menimbulkan tanggapan sebahagian besar penduduk di Sabah dan Sarawak masih menganut fahaman animisme dan tidak beragama.
“Misalnya, pada halaman 196 hingga 197 dalam buku teks tingkatan satu diceritakan bagaimana suku kaum di Sabah tidak menganut sebarang agama dan hanya menyebut suku Bajau dan Melayu-Brunei mula memeluk Islam secara berperingkat-peringkat mulai kurun ke-16.
“Tidak ada disebut tentang suku Rungus, Kadazandusun dan Murut yang menganut Kristian pada abad ke-19, sedangkan pada halaman 197 buku yang sama, orang Kadazandusun Murut hanya dicatatkan sebagai mengamalkan animisme,” kata Bilcher.
Bilcher berkata kritikan terhadap buku teks sejarah sekolah itu sudah terdengar sejak sekian lama, dan gesaan supaya ia disemak semula semakin lantang selepas menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin pada 2010 mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan jadi subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengkritik mendakwa maklumat mengenai Malaysia Timur sengaja dicicirkan sehingga menyebabkan rakyat Malaysia tidak tahu tentang kepentingan serta warisan Sabah dan Sarawak.
“Kesannya, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk memperkenalkan satu sukatan mata pelajaran baru yang dipanggil Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada 2011, dan seterusnya menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mencadangkan KSSM diperkenalkan tahun ini,” kata Bilcher.
“Tahap baru KSSM bagi tingkatan satu sudah digunakan di sekolah dan buku tingkatan dua sekarang sedang dicetak betul-betul untuk pelajar tingkatan dua kohort tahun depan.”
Dokumen sejarah yang merujuk pada zaman tersebut agak sukar diperolehi kerana kebanyakannya disimpan di arkib dan perpustakaan di luar negara, katanya.
“Kita ada sedikit saja dokumen dari zaman itu, disebabkan ia zaman pentadbiran penjajah British dan kebanyakannya disimpan di arkib di London atau di Perpustakaan Kongres di Amerika Syarikat.
“Ada beberapa sejarawan di Sabah yang mengkaji tentang Sabah dan Sarawak dan tidak banyak orang menyimpan rekod berkenaan dua negeri ini sehinggalah selepas 1963.”
Walaupun tugasnya bukan mudah dan renyah, Bilcher rasa ia satu tugas yang penting supaya rakyat Malaysia dapat saling memahami antara satu sama lain dengan lebih baik.
Agar nanti, katanya, tidak ada lagi warga Malaysia Timur yang tiba di Semenanjung dan disambut dengan ucapan “Selamat Datang ke Malaysia” oleh saudara mereka di sebelah barat. – 15 September, 2017.
Komen