TENTERA Sudan dijangka mengumumkan pembentukan kerajaan baharu tidak lama lagi, lapor agensi berita Sputnik, memetik sumber ketenteraan pada Khamis.
Terdahulu, media Sudan melaporkan dalam satu mesyuarat tergempar pihak tentera memutuskan untuk menggulingkan Presiden Omar Bashir dan memecat menteri kabinet, susulan bantahan besar-besaran anti-kerajaan yang tercetus di negara itu sejak beberapa bulan lalu.
“Kami jangka tentera akan mengumumkan bentuk kerajaan Sudan yang baharu,” kata sumber.
Presiden Bashir berdepan bantahan paling buruk sejak merampas kuasa pada 1989 dan menolak gesaan supaya beliau meletak jawatan.
Bekas jeneral yang meraih jawatan menerusi rampasan kuasa tentera itu mendapat sokongan pemimpin Islam, kekal memerintah selepas pilihan raya disifatkan pembangkang dilangsungkan secara tidak adil dan bebas.
Bantahan terhadap kenaikan harga barang dan keperitan ekonomi lain, bermula sejak 19 Disember lalu. – Bernama, 11 April, 2019.
Komen